ARAVINN

Oleh Muhammad Aiman

Pelari pecut G.Aravinn Thevar menyimpan hasrat besar mahu mengegar arena olahraga tanah air dengan mensasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan tertua dalam sukan olahraga milik pelari lagenda, Tan Sri Dr. M. Jegathesan.

Catatan masa 20.92s yang dilakukan Jegathesan ketika beraksi di separuh akhir 200m Sukan Olimpik Mexico 1968 masih belum terusik meskipun sudah ramai yang mencuba dengan hanya Azmi Ibrahim paling hampir untuk memperbaharuinya menerusi catatan 20.97s di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.  

Belum ada atlet lain yang melakukan catatan masa bawah 21s selepas Jegathesan dan Azmi justeru Aravinn yang melakar catatan masa ketiga terpantas dalam sejarah acara 200m negara dengan catatan 21.04s di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura bulan lalu percaya dia mempunyai kebolehan untuk memperbaharui rekod itu.

“Sudah 48 tahun rekod itu bertahan, ianya adalah satu rekod menjadi sasaran siapapun dan ramai telah cuba melakukannya. Ianya sudah tentu bukan tugas mudah, tapi saya akan terus memperbaiki catatan masa peribadi untuk menepati sasaran itu,” ujar Aravinn.

Atlet kelahiran Perak itu menunjukkan peningkatan yang cukup memberansangkan tahun ini di bawah bimbingan jurulatih S.Balamurugan.

Dia melakar 21.13 saat dalam laluan untuk memenangi emas di Terbuka Pahang pada Mac, dan kemudiannya 21.11s di Terbuka Johor bulan lalu sebelum memperbaiki lagi catatan masa peribadi kepada 21.07 di Terbuka Singapura untuk meraih emas.

Selepas ini, Aravinn akan mengambil bahagian di Terbuka Taiwan yang akan berlangsung dari 19-20 Mei.

“Sasaran saya di Terbuka Taiwan adalah untuk melakukan catatan bawah 21s, dengan kehadiran ramai pelari pecut yang hebat, saya yakin saya boleh lakukannya. Saya juga dalam keadaan yang baik, sama ada fizikal mahupun mental,” ujar Aravinn yang akan turut beraksi dalam acara 100m dan 4x100m.

Bagaimanapun, pelari yang mempunyai catatan terbaik 10.57s dalam acara riben biru itu, berkata fokusnya tetap pada acara 200m.

Seramai 28 atlet elit olahraga negara, terdiri daripada 15 lelaki dan 13 wanita akan mengambil bahagian di Terbuka Taiwan, yang mana dalam masa sama membuka ruang kepada mereka untuk mencari tiket kelayakan ke Sukan Olimpik.

- Advertisement -