MAA_3860

Oleh Ku Mohd Lufti

Pengendali Skuad bawah 22 tahun Negara, Frank Bernhardt menuntut pemain pemain mengekalkan fokus dalam persiapan sebelum menentang Nepal Ahad ini di Paroi.

Sedikit resah buiat Bernhardt apabila terpaksa melupakan khidmat Muhd Arif Farhan yang mengalami kecederaan.

“Dia terpaksa berehat selama dua hari dan tidak akan beraksi ahad ini. Selepas dua hari, kami perlu mendapatkan laporan daripada doktor. Saya tidak boleh ulas lanjut tentang kecederaan tetapi kecederaan yang dialami tidak serius,” katanya selepas sesi latihan di Bukit Jalil.

Pengganti bagi posisi Farhan masih belum ditetapkan kerana Frank Bernhardt masih menilai pemain pemain yang ada.

Malah, beliau memberi bayangan kemungkinan akan melakukan rombakan terhadap barisan kesebelasan utama untuk menentang Nepal.

Pengendali kelahiran Jerman ini tidak menetapkan sebarang penilaian kepada pasukan ini memandangkan perjalanan masih lagi jauh dan masih ramai lagi pemain yang belum diuji.

“Kami akan terus berusaha untuk mempersiapkan diri untuk menjadi lebih baik. Masih banyak yang perlu dilakukan walaupun perlawanan pertama menunjukkan satu peningkatan. Proses pemantauan pemain juga diteruskan untuk kem latihan seterusnya. Fokus utama pasukan ini adalah Sukan SEA 2017,” katanya lagi.

Aksi sulung persahabatan antarabangsa menyaksikan Skuad Bawah 22 Tahun Negara melakar kemenangan selesa 4-1 ke atas Skuad Bawah 22 Tahun Filipina.

Kejayaan itu nyata mendapat pujian pelbagai pihak, termasuklah ketua pengarah Majlis Sukan Negara, MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ia merupakan satu keputusan yang positif namun, Datuk Ahmad Shapawi mengingatkan pemain pemain agar tidak dibuai mimpi dengan kemenangan yang dilakar, kerana perjalanan sebelum temasya sukan SEA  2017 bermula masih jauh.

- Advertisement -