Oleh Muhammad Aiman
Pemain perseorangan profesional, Mohamad Arif Abdul Latif meletakkan sasaran untuk melonjak ke kedudukan 50 terbaik dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang akhir tahun ini dalam usaha merebut tempat beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu ketika ini berada di kedudukan 131 dunia dalam senarai ranking terbaru BWF dan dia berpendapat sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai andai mengambil kira prestasi konsisten yang ditunjukkannya sejak kembali dari kecederaan.
“Sebelum ini saya berehat dua bulan lebih kerana kecederaan, dan sebaik kembali saya dah dapat balik sentuhan dan semakin konsisten. Saya layak ke suku akhir Cabaran Antarabangsa di Thailand (May) dan separuh akhir terbuka Vietnam (Jun). Jadi saya harap boleh teruskan momentum ini untuk berterusan mengutip mata bagi menaikkan ranking.
“Kalau ranking bagus, prestasi bagus, mungkin tahun depan boleh terpilih lagi untuk bermain di Sukan Sea. Lagipun tahun depan kejohanan paling besar adalah Sukan Sea, kalau saya boleh kekalkan momentum, dan prestasi pun seimbang, memang harap akan terpilih la ke Sukan Sea,” ujar Arif.
Pentas Sukan Sea nyata bukan asing buat Arif, pemain berusia 27 tahun di mana dia adalah pemenang pingat perak di temasya yang berlangsung di Singapura tahun lalu setelah tewas kepada Chong Wei Feng di perlawanan akhir, manakala ketika penampilan sulungnya di Indonesia 2011, dia layak sehingga ke suku akhir sebelum tewas kepada Simon Santoso.
Selepas ini, pemain yang kini bernaung dengan Akademi Badminton Sports Affair di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek itu akan meneruskan misi memburu mata apabila beraksi di Kejohanan Terbuka Taiwan dari 28 Jun – 3 Julai depan.
“Saya sasarkan untuk layak ke suku akhir di Taiwan. Saya juga akan bincang dengan jurulatih (Rashid) mengenai kejohanan yang akan disertai, kalau tidak silap ada 7 atau 8 kejohanan lagi selepas ini untuk membantu saya mengutip mata.
“Untuk naikkan ranking saya perlu bermain di kejohanan seperti cabaran antarabangsa dan GP Emas. Saya tidak akan bermain dalam SuperSeries dulu, lepas dapat keputusan yang bagus, ranking dah naik, baru main SuperSeries,” ujar Arif yang merupakan naib juara remaja Asia 2007.
Arif ditemui Sports247.my selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa anjuran syarikat pengurusan fasiliti sukan, Shoot and Score Sdn Bhd di Kompleks Sukan Panasonic baru-baru ini, yang mana dia turut beraksi dalam perlawanan bolasepak persahabatan antara Shoot and Score menentang pasukan Tong Tong FC – pasukan gabungan artis dan ahli sukan.