Azlan Shah Kamruzaman melakar gelaran juara berganda dalam kelas ASB1000 pada saingan Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM yang berakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Selepas menjuarai Perlumbaan 1 semalam, Azlan yang menggalas cabaran pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, sekali lagi melakukannya pada Perlumbaan 2 hari ini dan ini merupakan kali kedua dia mencipta kemenangan berganda di pentas ARRC musim ini.
Kali pertama dia mencipta kejayaan serupa adalah pada Pusingan 3 di Buriram, Mei lalu. Pada Perlumbaan 2 hari ini, Azlan nampak lebih tenang berbanding semalam (Perlumbaan 1) yang menyaksikannya lebih banyak mengerah tenaga sebelum muncul juara.
Walaupun di awal perlumbaan dia agak ketinggalan, namun ia tidak menjejaskan fokusnya untuk melancarkan asakan.
Dia mula mengorak langkah sebaik perlumbaan memasuki lap kelima dan daripada situ dia memintas satu-persatu pencabar di hadapannya termasuk musuh tradisinya Broc Parkes dari pasukan Yamaha Racing Team ASEAN.
Sebaik berjaya menempatkan diri di hadapan pelumba lain, Azlan terus menjarakkan diri dan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlumbaan.
Azlan yang menunggang jentera BMW S1000 RR, mencecah garisan penamat dengan catatan masa 23:29.755 saat (s) diikuti Thitipong Warokom (Kawasaki Thailand Racing Team) di tempat kedua dengan masa 23:31.010s dan Apiwath Wongthananon (Kawasaki Thailand Racing Team) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 23:31.465s.
“Ini tanah air sendiri, kita mesti menang. Kita harus buktikan kehebatan kita di tempat sendiri,” jelas Azlan selepas selesai majlis penyampaian hadiah.
Menurutnya, dia tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya hanya fokus untuk menikmati perlumbaan.
“Saya tiada sasaran khusus kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam perlumbaan. Keutamaan saya adalah untuk mengharunginya dengan stabil dan alhamdulillah, nasib memihak kepada saya kali ini.
“Ini antara litar yang saya gemari dan setiap kali turun, saya hanya mahu buktikan yang terbaik,” jelas Azlan yang kini menghuni kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 193 mata.
Ketika diminta mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Azlan menjelaskan bahawa ia tidak begitu mencabar berbanding semalam.
“Pada perlumbaan 1, rentak perlumbaan terlalu pantas dan saya banyak mengerah tenaga. Hari ini, momentum kurang mencabar dan ia memudahkan tugas saya,” jelas Azlan.
Selepas perlumbaan hari ini, kedudukan keseluruhan masih diungguli Broc Parkes dengan 212 mata manakala Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing with SHOWA) di tempat ketiga keseluruhan dengan mengumpul 166 mata.
Sebelum itu, dalam Perlumbaan 2 kelas SS600, juara keseluruhan musim ini, Peerapong Boonlert (Yamaha Thailand Racing Team) muncul juara dengan catatan masa 21:50.449s.
Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) sekali lagi muncul naib juara dengan masa 21:50.481s manakala juara Perlumbaan 1, Md Ramdan Rosli (ONEXOX TKKR SAG Team) di tempat ketiga dengan catatan masa 21:50.925s.
Bagi Kasma, dia tetap bangga dengan pencapaiannya pada saingan Pusingan 6 ini walaupun impian untuk memenangi perlumbaan tidak tercapai.
“Saya anggap ia keputusan yang agak baik walaupun gagal memenuhi impian melakar kemenangan di tempat sendiri. Saya akan terus bekerja keras sebagai persediaan menghadapi Pusingan 7 di Buriram nanti,” jelas Kasma.
Dia juga mengintai untuk memburu kedudukan kedua keseluruhan selepas juara musim ini sudah sah milik Peerapong yang kini memungut 264 mata.
Kasma berada di tangga kedua dengan 179 mata manakala Muhammad Adam Mohd Norrodin, ketiga dengan 125 mata.
Aksi penutup tirai ARRC musim ini dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand pada 29 November hingga 1 Disember nanti.