Penantian Md Haziq Md Fairues untuk menjejak kaki di podium berakhir apabila menjuarai Perlumbaan 2 Kelas Underbone (UB) 150 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu yang memulakan perlumbaan di petak ketiga, tampil dengan tunggangan bergaya untuk muncul juara dengan catatan masa 15:36.361 saat (s).
Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Md Faiz Zekri Sabri dengan masa 15:36.728s manakala Aldi Satya Mahendra (Yamaha Racing Indonesia) di tempat ketiga dengan catatan masa 15:37.608s.
Juara Perlumbaan 1, Md Akid Aziz (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team) sekadar menghuni tempat ke-13 selepas dia dikenakan penalti gara-gara kesilapan yang dilakukannya pada Perlumbaan 1 semalam.
Begitupun, Akid tetap mampu meraih mata untuk menjadikan jumlah keseluruhan 119 mata, sekali gus kekal mendahului kedudukan keseluruhan.
Haziq pula melonjak ke kedudukan ketiga dengan 98 mata manakala McKinley Kyle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Team di tempat kedua keseluruhan dengan 111 mata.
Ketika di temui Haziq menjelaskan bahawa usahanya selama ini sudah memberi keputusan yang positif. Menurutnya, dia sudah lama mengintai penamat podium di pentas ARRC dan hari ini dia berjaya merealisasikannya.
“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya kerana ia diraih di tempat sendiri. Ia hadiah kepada para penyokong dan pasukan.
“Dalam beberapa pusingan lepas, nasib saya tidak begitu baik. Adakalanya berdepan masalah jentera, tetapi sering juga menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Semalam, dalam Perlumbaan 1 saya juga menduduki tempat keempat. Hari ini, Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan penantian untuk menjejak podium.
“Apa yang lebih menarik adalah penantian saya untuk berada di podium berakhir dengan gelaran juara,” jelas Haziq yang berasal dari Klang, Selangor.
Ditanya sama ada fokusnya terjejas selepas rakan sepasukannya, Akid yang dikenakan penalti pada perlumbaan tersebut, Haziq mengakui ada sedikit mengganggu, namun pada masa yang sama turut memberi semangat kepadanya untuk menguasai Perlumbaan 2 itu.
Selepas ini, Haziq turut mengintai peluang untuk melakar kejayaan pada pusngan penutup tirai di Buriram nanti.
Sementara itu, Perlumbaan 2 kelas AP250 memperlihatkan penguasaan pelumba Indonesia.
Awhin Sanjaya dari pasukan Astra Honda Racing Team muncul juara dengan catatan masa 19:43.339s manakala Andy Muhammad Fadly (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) di temepat kedua dengan masa 19:43.387s.
Tempat ketiga menjadi milik Reynaldo Chrisantho Ratukore (ONEXOX TKKR SAG Team) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 19:43.545s.
Selepas selesai aksi Pusingan 6 ini, kedudukan keseluruhan pelumba bagi kelas AP250 diungguli Irfan Ardiansyah (Astra Honda Racing Team) dengan mengumpul 176 mata.
Andy yang menghuni kedudukan kedua turut mengumpul 176 mata. Saingan penutup tirai ARRC musim ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand pada 29 November hingga 1 Disember nanti.