Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM kembali ke Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC), China minggu ini selepas tujuh tahun kehilangan daripada radar kejuaraan terunggul di Asia itu.

Litar sepanjang 4.3 kilometer (km) itu dan dianggap antara tertua di rantau ini, akan menjadi hos Pusingan 5 ARRC 2019 pada 9 hingga 11 Ogos ini.

Kali terakhir ARRC diadakan di Litar Antarabangsa Zhuhai yang mempunyai 14 selekoh sukar itu ialah pada tahun 2012. Kini, ia kembali berada dalam senarai ARRC, satu-satunya kejuaraan yang sentiasa berkembang daripada semasa ke semasa, sekali gus menyaksikan empat kategori utama menjadi perebutan para pelumba hebat Asia iaitu ASB1000cc, SS600cc, AP250cc dan Underbone (UB) 150cc.

Apa yang menarik pada saingan Pusingan 5 ini adalah kategori UB150cc bakal membuat penampilan pertama di ZIC kerana sebelum ini, ketika litar tersebut menjadi hos kejuaraan ini, kelas tersebut tidak berada dalam senarai.

UB150cc merupakan kategori paling popular dalam kalangan pelumba di Asa Tenggara terutamanya di Indonesia dan Malaysia. Pada aksi di ZIC nanti, sejumlah 29 motosikal akan berada di atas litar bagi memburu podium dalam kelas UB150cc.

Persaingan pasti menarik kerana semua pelumba kategori ini masih belum membiasakan diri dengan keadaan litar, lagipun UB150cc akan membuat penampilan pertama sebaik ZIC kembali menjadi hos untuk Pusingan 5 ARRC musim ini.

Antara barisan pelumba yang bakal bersaing dalam kategori ini termasuk dari Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam. Mengimbas saingan kelas UB150cc pada Pusingan 4 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun bulan lalu, penguasaan pelumba Indonesia begitu terserlah.

Mereka menguasai kedudukan tiga teratas dalam Perlumbaan 1 menerusi Wawan Welo, G.Kresna (SND Factory Racing Rapido) dan W. Aji Trilaksana (ONEXOX TKKR SAG Racing Team) sebelum Aldi Satya Mahendra (Yamaha Racing Indonesia) melengkapkan penguasaan Indonesia dalam kategori tersebut.

Dua pelumba Malaysia, Mohd. Adib Rosley (RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team) dan Mohd. Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Racing Team) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga pada Perlumbaan 2 itu.

Aksi di Suzuka dianggap yang terbaik buat Adib kerana ia merupakan penyudah podium pertamanya di peringkat Asia musim ini. Pada aksi di Zhuhai nanti, Adib mahu meneruskan kecemerlangan tersebut lebih-lebih lagi selepas mendapat keyakinan baharu hasil daripada kejayaannya di Suzuka bulan lalu.

Menurut Adib, sebahagian besar pelumba kelas UB150cc tidak pernah beraksi di ZIC dan situasi ini bakal membuka peluang kepada semua pelumba untuk mejejak podium.

“Saya tetap dengan sasaran untuk meraih kemenangan podium dan yakin untuk melakukannya sekali lagi.

“Saingan di Zhuhai nanti agak terbuka kerana jarang kelas UB150cc ini diadakan di liar tersebut. Saya cuma berharap keadaan jentera berada pada tahap terbaik dalam misi untuk memburu penyudah podium kedua di peringkat ARRC musim ini,” jelas Adib.

Namun, dia tidak menolak kemungkinan bakal berdepan saingan sengit daripada barisan pelumba Indonesia yang telah memperlihatkan kebangkitan luar biasa di Suzuka bulan lalu.

“Saingan sudah pastinya hadir daripada barisan pelumba Indonesia terutamanya Wawan Wello yang dilihat terus konsisten setakat ini. Namun, saya tidak gentar dan akan tetap bekerja keras bagi mencapai impian menghadiahkan kemenangan buat pasukan,” katanya.

Wawan kini mendahului kedudukan keseluruhan kategori pelumba dengan mengumpul 79 mata, meninggalakan pendahulu sebelum ini, McKinley Kyle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Team) di tempat kedua dengan perbezaan 12 mata.

Antara pelumba lain yang diramal mampu menguasai sangan di Zhuhai nanti adalah Mohd. Akid Aziz (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team), Mckinley Kyle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Team) serta Aji Trilaksana.

 

INFO KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA

UB150cc (5 Teratas)

Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido) – 71 mata

McKinley Kyle Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippine Team – 59

Mohd Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 59

Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All – 55

Peerapong Luiboonpeng (THA) Team One For All) – 54

 

PASUKAN

ONEXOX TKKR SAG Team – 79 mata

Team One For All – 79

SND Factory Racing Rapido – 76

UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 75

UMA Racing Yamaha Philippine Team – 71

- Advertisement -