Pelumba Jepun, Taiga Hada #23 yang memberi tentangan sengit kepada Azlan Shah Kamaruzaman dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) Pusingan Pertama 2017.

Pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman kembali menemui rentak podium setelah muncul naib juara Perlumbaan 2 dalam kategori SuperSports 600cc pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berakhir di Litar Johor, Pasir Gudang, Johor, hari ini.

Aksi Azlan Shah Kamaruzaman di Litar Pasir Gudang dalam Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) Pusingan Pertama 2017.

Setelah sekadar di tangga keempat sewaktu Perlumbaan 1, semalam, pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu menebus kekecewaan untuk kembali ke atas podium di tangga kedua dengan masa keseluruhan 24’56.876s di belakang pemenang berusia 18 tahun, Taiga Hada (Rama Honda by NTS T.Pro Ten 10) yang menamatkan 16 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 24’51.787s. Tempat ketiga milik Irfan Ardiansyah (Astra Honda Racing Team) dengan masa keseluruhan 25’04.928s.

“Perlumbaan tadi agak sukar dan Taiga terlalu pantas,” akur Azlan yang juga merupakan juara keseluruhan SuperSports 600cc 2013 dan pemenang tempat ketiga keseluruhan musim 2016.

“Pada peringkat awal saya cuba untuk mengejar, namun masuk ke pertengahan perlumbaan, tayar semakin haus dan sukar untuk mengawal jentera ketika di selekoh. Saya memilih jalan selamat memandangkan Taiga agak jauh di hadapan dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua,”

Saingan 16 pusingan perlumbaan menyaksikan beberapa insiden kemalangan melibatkan pelumba dihadapan termasuk Mohd Zaqhwan Zaidi yang juga juara Perlumbaan 1 apabila terjatuh seawal pusingan kedua bersama Chalermpol Polamai (Yamaha Thailand Racing) sekaligus menyebabkan juara bertahan itu turun ke tangga ketiga keseluruhan dengan 25 mata. Yuki Ito (Yamaha Racing) dan Deturut terbabas ketika sedang bersaing

Mohd Zaqhwan Zaidi.

“Saya agak kecewa kerana kehilangan mata yang banyak dalam perlumbaan ini disebabkan kesilapan sendiri. Saya akan menebus kesilapan dan bangkit mengejar podium pada perlumbaan akan datang di Buriram, Thailand, dua minggu lagi,” jelas Zaqhwan.

Tamat kedua-dua perlumbaan, Taiga kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 45 mata manakala Azlan naik ke tangga kedua keseluruhan dengan 33 mata.

Sementara itu, dalam saingan Asia Production 250cc, Gerry Salim (Astra Honda Racing) meneruskan aksi cemerlang untuk meraih kemenangan berganda sekaligus menguasai kedudukan keseluruhan pelumba dengan mengumpul 50 mata.

Gerry menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 20’54.397s menewaskan Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing) di tempat kedua dengan masa 20’56.112s manakala Takehiro Yamamoto (Sidrap Honda Ikazuchi Racing) di tempat ketiga dengan masa 20’59.050s. Kedua-dua pelumba terikat di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 36 mata.

Pelumba Yamaha, Md Akid Aziz #13 berjaya menamatkan perlumbaan akhir Underbone 150cc di tempat pertama manakala pelumba dari Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana #60 di tempat kedua.

Dalam saingan Underbone 150cc, Md Akid Aziz (Uma Racing Yamaha Maju Motor) yang muncul naib juara pada Perlumbaan 1, semalam meraih kemenangan pertama pada musim ini setelah menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 14’52.561s manakala juara 2016, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) di kedudukan kedua dengan masa 14’52.888s. Tempat ketiga milik Anggi Setiawan (Yamaha Yamalube WR KYT TJM Racetech Racing) ketiga dengan masa 14’52.959s.

Kemenangan ini sekaligus meletakkan Akid selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 45 mata manakala juara Perlumbaan 1, Fakhrusy Syakirin Rostam (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing) di kedudukan kedua dengan 33 mata. Tengku Amirul Haffirudin (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang Racing) di tangga ketiga dengan 24 mata.

Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 13 hingga 15 April 2017.

 

Keputusan Perlumbaan 2 ARRC:

 

SuperSports 600cc
Perlumbaan akhir (16 pusingan)
1. Taiga Hada (JPN) Honda 24’51.787s
2. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 24’56.876s
3. Irfan Ardiansyah (INA) Honda 25’04.928s
4. Ahmad Yudhistira (INA) Kawasaki 25’08.480s
5. Ratthapong Wilairot (THA) Honda 25’09.529s

Kedudukan keseluruhan
1. Taiga Hada (JPN) Honda 45 mata
2. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 33 mata
3. Mohd Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 25 mata
4. Irfan Ardiansyah (INA) Honda 24 mata
5. Ahmad Yudhistira (INA) Kawasaki 22 mata

 

Asia Production 250cc
Perlumbaan akhir (12 pusingan)
1. Gerry Salim (INA) Honda 20’54.397s
2. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 20’56.112s
3. Takehiro Yamamoto (JPN) Honda 20’59.050s
4. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 20’59.239s
5. Rheza Danica Ahrens (INA) Honda 21’04.636s

Kedudukan keseluruhan
1. Gerry Salim (INA) Honda 50 mata
2. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 36 mata
3. Takehiro Yamamoto (JPN) Honda 36 mata
4. Rheza Danica Ahrens (INA) Honda 24 mata
5. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 22 mata

 

Underbone 150cc
Perlumbaan akhir (8 pusingan)
1. Md Akid Aziz (MAS) Yamaha 14’52.561s
2. Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha 14’52.888s
3. Anggi Setiawan (INA) Yamaha 14’52.959s
4. Tengku Amirul Haffirudin (MAS) Yamaha 14’53.368s
5. Md Muzakkir Mohamed (MAS) Honda 14’53.458s

Kedudukan Keseluruhan
1. Md Akid Aziz (MAS) Yamaha 45 mata
2. Fakhrusy Syakirin Rostam (MAS) Honda 33 mata
3. Tengku Amirul Haffirudin (MAS) Yamaha 24 mata
4. Md Haziq Md Fairues (MAS) Yamaha 23 mata
5. Md Helmi Azman (MAS) Yamaha 22 mata

- Advertisement -