Jumaat ibarat penentu skuad kebangsaan negara dalam saingan Piala Suzuki AFF 2018.

Apa sahaja keputusan yang bakal dilakar di Stadium Kebangsaan My Dinh, Hanoi nanti akan memberi gambaran tentang Harimau Malaya dan Tan Cheng Hoe amnya.

Selepas aksi yo yo di Phnom Penh meskipun meraih tiga mata ke atas Kemboja, Malaysia mengesahkan mata maksima selepas dua perlawanan susulan kemenangan ke atas Laos di laman sendiri.

Anak didik Park Hang Seo seringkali dianggap sebagai ‘lawan sebenar’ Harimau Malaya berdasarkan prestasi semasa dan keputusan yang dilakar sepanjang peringkat kumpulan A.

Rong Vang atau Golden Dragons membuka kempen kumpulan A dengan kemenangan 3-0 ke atas Laos dan ‘berehat’ kira kira tujuh hari sebelum menanti kedatangan Malaysia pada Jumaat.

Tekanan tampak mula dirasai di kem Harimau Malaya meskipun meraih mata maksima setakat ini.

Tiga mata pastinya menjamin Malaysia ke separuh akhir kerana peluang tampak masih terbuka untuk Vietnam dan Myanmar ketika ini.

Selepas apa yang telah ditonjolkan oleh Malaysia dalam dua perlawanan sebelum ini, ada beberapa persoalan yang mungkin timbul; adakah Harimau Malaya masih menyimpan ‘rahsia’ dan akan dikeluarkan di My Dinh kelak, atau Malaysia hakikatnya bermain dibawah ‘par’?

Secara am, barisan tengah Harimau Malaya tampak sudah mempunyai gandingan yang terbaik. Tidak kurang posisi pertahanan yang dibarisi Aidil Zafuan, Shahrul Saad, Syazwan Andik boleh dikatakan kukuh, hanya memerlukan penambahbaikan secara berterusan.

Cerita dari Bukit Jalil pastinya akan dibawa ke Hanoi, ketumpulan penyudah yang mungkin menjadi faktor kepada kejatuhan moral rakan sepasukan.

Kawalan bola atau first touch tampak masih belum cukup sempurna untuk barisan serangan yang sering kali dibarisi Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha, Safawi Rasid, Ahmad Hazwan Bakri, Mohamadou Sumareh dan Shahrel Fikri.

Hilang first touch pastinya akan merencatkan peluang untuk melakukan penyudah atau mencipta ruang kepada rakan sepasukan.

11 percubaan tepat dan 13 lagi percubaan yang tersasar sepanjang perlawanan menentang Laos jelas membuktikan Malaysia mampu untuk mencipta peluang.

Berbanding skuad kendalian Park Hang Seo yang melakukan 10 percubaan tepat sementara sembilan percubaan tersasar ketika membenam Laos 3-0 tidak boleh dipandang ringan.

Memetik kembali kata kata V Sundramoorthy, pasukan yang memanfaatkan peluang akan menguasai perlawanan sementara Cheng Hoe menegaskan, permainan yang cantik tetapi tidak menjaringkan gol belum tentu menjamin kemenangan.

Perlawanan pada Jumaat ibarat misi membalas dendam Malaysia ke atas Vietnam dua tahun lalu dimana kekalahan 0-1 dalam aksi kumpulan antara faktor Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir Piala AFF 2016.

Samada mahu membalas dendam, atau peristiwa 2016 sudahpun dilupakan, enam pemain yang beraksi ketika itu, termasuklah penggempur utama negara, Norshahrul Idlan Talaha tidak rela pulang hampa.

Perlawanan ketiga kumpulan A diantara Vietnam dan Malaysia dijadual berlangsung pada jam 7.30 malam waktu tempatan.

 

- Advertisement -