Selangkah demi selangkah, Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe memasang impian untuk menjulang trofi Piala Suzuki AFF kali kedua selepas melakukannya pada 2010.
Ketika itu, Cheng Hoe menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K Rajagobal yang memastikan Malaysia muncul juara buat pertama kali selepas menewaskan Indonesia di Bukit Jalil dan Gelora Bung Karno.
“Untuk 2018 adalah suasana yang berbeza dan saya sebagai ketua jurulatih. Saya yakin barisan yang diturunkan mampu mencipta satu kejayaan.
“Kita tahu Vietnam merupakan satu pasukan yang kuat dan mengambil peluang bermain dilaman sendiri dengan sokongan padu penyokong, saya rasa pemain bersemangat tinggi,”kata Cheng Hoe ketika sidang media pra perlawanan akhir pertama Malaysia dan Vietnam.
Ringkasan sidang media pra perlawanan akhir pertama Malaysia dan Vietnam
Cheng Hoe tidak menyembunyikan tekanan yang sering kali dihadapi oleh barisan kejurulatihan dan pemain pemain sepanjang saingan sejak peringkat kumpulan sehingga kini.
Namun, Cheng Hoe menganggap ia sebagai cabaran dan perlu dihadapi dengan sebaik mungkin selain memberi tumpuan terhadap persiapan dan mengekalkan fokus sepanjang perlawanan sekaligus menjadikannya sebagai motivasi ketika beraksi.
“Di dalam bolasepak moden, adalah penting untuk mengawal bola mencari gol dan bermain secara konsisten.
“Pemain pemain menunjukkan peningkatan sepanjang perlawanan dan diharapkan ia dapat dikekalkan esok.
“Jika diimbau kembali ketika di Hanoi, kami bermain baik tetapi melakukan kesilapan. Ia sudah diperbetulkan dan esok saya pasti pemain pemain ada kejutan untuk Vietnam,” kata Cheng Hoe lagi.