Belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan harmstring adalah alasan mengapa Nor Azam Azih yang dianggap salah seorang pemain tengah terbaik dalam negara terpaksa disisihkan dari skuad Piala AFF Suzuki 2018 selepas hanya sekali diuji dalam aksi persahabatan menentang Maldives pada Sabtu.
Nor Azam beraksi dalam 45 minit pertama tetapi dikeluarkan pada babak kedua perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu yang menyaksikan Malaysia melakar kemenangan selesa 3-0.
Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kemudiannya membuat keputusan menggugurkan Nor Azam bersama-sama Azizzan Nordin dan juga pemain pertahanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari senarai akhir skuad 23 pemain yang diumumkan pada Ahad.
Nor Azam mengakui terkejut digugurkan tetapi akur bukan rezekinya untuk menyertai dua rakan sepasukan dari Pahang ā Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha ā berada di dalam skuad kali ini.
āKecederaan saya sebenarnya sudah semakin pulih, ia tidaklah serius. Saya boleh menjalani latihan dan bermain meskipun semalam ada terasa sedikit sakit, sebab ia perlawanan pertama saya lagipun beraksi dalam hujan.
āJadi memang terkejut dan sedikit terkilan setelah dimaklumkan pagi tadi, kerana saya beranggapan akan terpilih dan masa beberapa hari yang tinggal saya boleh meningkatkan tahap kecergasan. Tetapi mungkin jurulatih tidak mahu mengambil risiko dan saya terima bahawa bukan rezeki saya kali ini,ā ujar Nor Azam.
Sebagai rekod, pemain itu merupakan tonggak pasukan bawah 23 tahun negara ketika memenangi pingat perak di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan dia turut memainkan peranan penting ketika skuad bimbingan Datoā Ong Kim Swee itu melangkah ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 pada Januari lalu.
Dengan ketiadaan Nor Azam, Harimau Malaya tidak mempunyai pemain yang boleh berfungsi sebagai tenaga kreatif yang boleh mendominasi bahagian tengah dan bertindak sebagai perancang dengan Cheng Hoe turut tidak menyenaraikan Nazmi Faiz Mansor serta Nasir Basharudin yang belum pulih dari kecederaan.
Sebaliknya Cheng Hoe membawa tiga pemain tengah bertahan iaitu D.Kenny Palraj, Syamer Kutty Abba dan Akram Mahinan.
Malaysia akan terbang ke Phnom Penh Selasa ini untuk aksi pembuka tirai Piala AFF Suzuki menentang pasukan kendalian Keisuke Honda, Kemboja pada 8 November dan kembali ke tanah air untuk aksi kedua menentang Laos pada 12 November. MUHD AIMANĀ