Baki 90 minit terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu malam bakal menjadi penentu haluan Harimau Malaya samada meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2018 atau sebaliknya.

Pertemuan dengan Myanmar yang juga merupakan aksi terakhir kumpulan A ibarat misi hidup mati Malaysia yang menjadi salah satu KPI pengendalinya, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe seringkali mengingatkan pemain pemain untuk kekal fokus dan memanfaatkan kelebihan dilaman sendiri malam esok untuk memastikan tiga mata berjaya diraih.

“Sebagai jurulatih, saya mahu pemain pemain masuk ke padang dengan matlamat untuk fokus 100 peratus sehingga ke wisel penamat. Kesilapan juga perlu dielakkan khususnya di saat saat genting,”kata Cheng Hoe ketika sidang media perlawanan terakhir peringkat kumpulan A diantara Malaysia dan Myanmar.

Tambahnya lagi, Myanmar atau ‘The White Angles’ menampilkan permainan yang baik selepas tiga aksi termasuk keputusan seri ke atas Vietnam.

 

 

“Saya tahu, ketua jurulatih Myanmar (Antione John Paul Hey) ada strategi dan pelan untuk mengatasi cara kita bermain. Kami perlu berhati hati ketika menyerang kerana mereka mempunyai pemai yang laju,”katanya lagi.

Malaysia di tangga ketiga dengan enam mata, dipisahkan satu mata dengan Vietnam dan pendahulu, Myanmar.

Cheng Hoe pastinya tidak mahu badi kekalahan Malaysia dengan Myanmar berterusan selepas kali terakhir menang pada 2011 dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Pertemuan terakhir dua tahun lalu, Malaysia kecundang 0-1 dalam Piala AFF sekaligus gagal melepasi peringkat kumpulan.

Satu lagi aksi kumpulan A, Vietnam akan bertemu Kemboja di Hanoi dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah sekaligus merebut slot dua teratas kumpulan untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

 

- Advertisement -