Pemilihan Akram Mahinan ke dalam skuad Piala AFF Suzuki 2018 sememangnya dikritik ramai penyokong setia Harimau Malaya kerana menganggap pemain itu belum cukup bagus dan tidak mempunyai material sebagai pemain kebangsaan.

Namanya menjadi pilihan Tan Cheng Hoe mengetepikan beberapa pemain tengah lebih berkredibiliti seperti Brendan Gan, Natxo Insa dan Nazmi Faiz Mansor, malah dikatakan turut dibantu hakikat bahawa Akram adalah pemain kesayangan Cheng Hoe ketika dia membimbing Kedah dulu.

Adakah Akram benar-benar tidak cukup bagus untuk menyarung jersi Harimau Malaya?

Melihat kepada dua aksi pertama menentang Kemboja dan Laos, Akram sememangnya menjadi sasaran kritikan, dia tidak berjaya merubah tanggapan awal penyokong mengenai pemilihannya tetapi secara taktikal dia sebenarnya telah memainkan peranan yang diberi dengan cukup baik.

Kenapa?

Akram ada di mana-mana, jenis pemain yang Cheng Hoe mahukan

Pemain ini tidak ada unsur kreatif dalam permainannya, tetapi perlu diingat Akram adalah pemain tengah bertahan dan tiada kreativiti diperlukan untuk pemain posisi itu.

Ketika menentang Kemboja, Akram bertindak cemerlang mengganggu pemain Kemboja daripada merangka pelan taktikal perlawanan yang mereka mahukan. Di mana sahaja ada kelibat pemain Kemboja mula memasuki kawasan Malaysia, Akram ada di situ.

Dia merupakan pemain pertama yang tampil mematahkan gerakan lawan.

Dominan apabila diberi ruang

Menentang Laos pula, Akram pada babak pertama memang kurang memberikan impak, namun ianya situasi berbeza pada separuh masa kedua apabila dibiarkan bermaharajalela di kawasan tengah tatkala Laos memilih berkampung di kawasan sendiri.

Impak Akram pada babak kedua amat ketara apatah lagi dia mengalas tanggungjawab berat sebagai pemain tengah tunggal setelah Cheng Hoe meletakkan 5 penyerang dalam kesebelasan utama.

Umpanannya ketika pertengahan babak kedua hampir sahaja membolehkan Ahmad Hazwan Bakri menjaringkan gol kedua untuk skuad negara.

Sudah memahami taktikal dan apa yang dimahukan Cheng Hoe

Melihat kepada senarai pemain dalam setiap panggilan untuk perlawanan antarabangsa sepanjang 2018, majoriti gandingan yang digunakan adalah terdiri daripada dua midfielder defensif. Ini merupakan pendekatan taktikal Cheng Hoe yang sudah pun kita sedia maklum.

Akram merupakan antara pemain yang sudah biasa dengan taktikal beliau ketika bersama pasukan Kedah, jadi persefahaman di antara kedua pihak amat penting dalam melaksanakan pelan taktikal yang dirancang.

Dia cukup memahami apa sebenarnya kehendak Cheng Hoe, dan usah lupa kerana itu jugalah Cheng Hoe sentiasa mengatakan pemain yang dipanggil adalah pemain yang kena dengan citarasa dan kehendaknya.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -