Perit jerih selepas tewas kepada Vietnam pada pertengahan November lalu, dibayar dengan ganjaran yang cukup berbaloi buat penyerang negara, Nor Shahrul Idlan Talaha apabila impiannya untuk bersemuka semula dengan Vietnam menjadi kenyataan.
Matlamat penyerang Pahang itu mahu terus mempertingkatkan segala kemahiran yang diperlukan selain menanti formula yang akan diberikan Tan Cheng Hoe sebelum aksi final pertama di Bukit Jalil pada Selasa.
“Say bersyukur, apa yang di sasarkan untuk berjumpa kembali dengan Vietnam selepas kita tewas di sana (Stadium My Dinh, Hanoi) hari itu. Dengan perancangan Allah S.W.T, kita dapat berjumpa balik dengan Vietnam di final.
“Untuk taktikal, saya serahkan kepada jurulatih (Tan Cheng Hoe), tetapi untuk diri saya perlu bekerja lebih keras dan pengalaman ketika beraksi di Hanoi akan dijadikan ikhtibar dan belajar daripada kesilapan dan Insyaallah kita akan menang dengan Vietnam,”kata Norshahrul.
Komen Norshahrul Idlan Talaha ketika sesi latihan
Tambahnya lagi, beliau tidak melihat banyak perbezaan ketika Golden Dragons menentang Filipina di Hanoi ketika separuh akhir kedua pada 6 Disember lalu.
Penjaring terbanyak Harimau Malaysia ketika ini juga mahu rakan rakan sepasukan bekerja keras untuk mempertingkatkan kualiti permainan sepanjang sesi latihan untuk memastikan keputusan yang positif menjadi milik Malaysia di Bukit Jalil kelak.
“Saya harap rakan rakan yang lain dapat berikan lebih daripada 100 peratus sebelum bertemu Vietnam dan menjaringkan gol untuk mencapai kemenangan nanti,”katanya lagi.
Dalam senarai penjaring saingan Piala Suzuki AFF, Norshahrul Idlan Talaha telah meledak lima gol, ketinggalan tiga gol dibelakang penyerang Thailand, Adisak Kairsorn.
Manakala kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Razak menjaringkan tiga gol bersama sama tiga pemain Vietnam, Nguyen Anh Duc, Nguyen Cong Puong dan Phan Van Duc serta Pansa Hemviboon dan Supachai Jaided dari Thailand dan, Safuwan Baharudin (Singapura),
Ketika saingan kumpulan A, Malaysia tewas kepada Vietnam 0-2 di Stadium My Dinh, Hanoi selepas dua kemenangan iaitu 1-0 ketika aksi pembukaan kumpulan menentang Kemboja di Phnom Penh dan kemenangan selesa 3-1 ketika menewaskan Laos di Bukit Jalil.