Persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi final pertama Piala Suzuki AFF tampak sedikit meresahkan Tan Cheng Hoe apabila penyerang, Safawi Rasid berada di dalam senarai kecederaan.
Cheng Hoe mengesahkan Safawi Rasid mengadu mengalami kesakitan dibahagian belakang selepas aksi separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Syazwan Andik masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami ditambah dengan pemain pertahanan, Aidil Zafuan yang turut mengalami kecederaan hamstring.
Barisan pertahanan negara ketika ini bergantung kepada Shahrul Saad, Irfan Zakaria, Nazirul Naim dan Adam Nor Azlin sementara Muhd Syahmi Safari tidak dapat diturunkan bagi aksi menentang Vietnam Selasa depan selepas digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning.
Komen Tan Cheng Hoe ketika sesi latihan Harimau Malaya
Cheng Hoe bagaimanapun masih belum menekan butang panik kerana percaya dengan kemampuan pemain pemain serta penilaian secara berterusan dilakukan melibatkan Syazwan, Aidil dan Safawi sebelum senarai kesebelasan utama diumumkan.
Bagi aksi final pertama di Bukit Jalil, Chneg Hoe mengharapkan kelebihan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain pemain untuk memastikan keputusan positif berjaya dihasilkan.
Tidak mahu terlalu dibuai dengan misi ‘balas dendam’ susulan kekalahan Malaysia kepada Vietnam ketika aksi peringkat kumpulan A, Cheng Hoe lebih gemar untuk memfokuskan persiapan pasukan Harimau Malaya.