Banyak untuk dipertkatakan tentang aksi separuh akhir pertama malam tadi diantara Malaysia dan Thailand di Bukit Jalil.
Samada kehadiran 87 545 penonton yang rata ratanya menyarung jersi kuning memenuhi segenap ruang di dalam stadium berakhir dengan kegembiraan atau kekecewaan, hanya tuan badan sahaja yang mampu menjawab.
Statistik perlawanan kedua dua pasukan (https://www.affsuzukicup.com/2018/match-centre?view=stats&id=983020) jelas sekali tampak memihak Malaysia.
Di atas kertas, lebih 63 % penguasaan bola, dua percubaan tepat, manakala 13 percubaan yang tersasar membuktikan Malaysia mengawal perlawanan.
Gerakan yang direncana dari bahagian tengah hasil gandingan Mohamed Syamer Kutty Abba dan Muhd Akram Mahinan tatkala Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha Abd Razak, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh bergandingan untuk membuka ruang sekaligus merobek gawang Thailand.
90 minit tidak termasuk tiga minit masa tambahan, mahu atau tidak, Malaysia melepaskan peluang untuk meletakkan sebelah kaki ke perlawanan akhir.
Bukan jumlah jaringan yang dicari, tetapi Malaysia hanya memerlukan sekurang kurangnya satu gol untuk meleburkan sedikit tekanan selain turun ke gelanggang keramat Thailand 5 Disember depan dengan motivasi yang tinggi.
Itu jika berjaya menjaringkan golâŠtetapi cerita realiti, berakhir dengan seri tanpa jaringan.
Kawalan sebaik mana pun baik dari pertahanan, tengah ataupun gerakan gerakan berbahaya oleh barisan serangan, namun jika tidak berakhir dengan gol, kesimpulannya, âfinal touchâ masih tiada.
Senario ini tampak hampir sama ketika Malaysia bertandang ke Stadium My Dinh dimana Malaysia tewas kepada Vietnam.
Mungkin dari satu aspek, kreativiti dan kombinasi diantara Mat Yo, Zaquan, Sumareh dan Safawi menampakkan satu peningkatan, tetapi ia masih bukan jaminan tiket final sudah digenggaman.
Tidak bolos mungkin satu kelegaan buat Cheng Hoe, tetapi keputusan seri memberi bayangan awal, liku berduri menanti di Rajamangala.
Dengan kecederaan yang menimpa Sumareh dan Syazwan Andik, Cheng Hoe perlu merangka jentera yang efisien untuk memastikan Harimau Malaya mengaum di bumi Gajah Perang.
Komen Aidil Zafuan dan Mohamadou Sumareh
Pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd Razak antara yang berpuas hati dengan prestasi Malaysia ketika di Bukit Jalil Sabtu lalu.
Begitu juga dengan Sumareh yang tidak menjangkakan permainan yang cukup meyakinkan daripada rakan rakan sepasukan meskipun gagal menyudahkan peluang terhidang didepan gawang.
90 minit terakhir bakal ditentukan di Stadium Rajamangala pada Rabu sekaligus menentukan nasib Malaysia samada meneruskan kemaraan atau pulang kehampaan.
Ramuan dan formula sedang direncana, hanya Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan sahaja yang mampu menjawab