Dua gol yang dijaringkan di penghujung perlawanan memperlihatkan kemampuan pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh sekaligus membantu kemenangan 4-1 Harimau Malaya ke atas Sri Lanka malam tadi.
Sumareh dimasukkan pada separuh masa kedua, meledak dua gol di minit 85 dan 91 selepas Norshahrul Idlan Talaha menyamakan kedudukan disusuli jaringan Adam Nor Azlin diminit 76.
Disebalik penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan, Sumareh enggan mendabik dada, sebaliknya menjelaskan ia hasil kerjasama rakan sepasukan.
“Sudah tentu seronok kerana saya mendapat sokongan daripada pemain pemain lain termasuk jurulatih. Ia memberikan saya keyakinan untuk bermain dengan baik. Segalanya kerana kerjasama dan bukan kerana saya. Ianya melibatkan keseluruhan pasukan dan kami berikan persembahan terbaik,”kata Sumareh.
Pemain berusia 27 tahun itu bersedia untuk diturunkan dengan kecergasan sepenuhnya jika diberi peluang ketika aksi menentang Republik Kyrgystan kelak.
“Saya tidak cergas sepenuhnya tetapi jurulatih telah membantu dan mahu saya bermain dengan cara mudah. Jadi saya bermain secara bijak dan tidak menggunakan sepenuhnya.
“Sudah tentu saya mengharapkan untuk kembali cergas sepenuhnya pada perlawanan seterusnya,”kata Sumareh lagi.
Pemain berusia 27 tahun ini melaporkan diri pada hari kedua sesi latihan skuad kebangsaan dalam keadaan kurang cergas selepas beraksi untuk pasukan Pahang dalam saingan Piala Malaysia. KU MOHD LUFTI