Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menganggap kritikan terhadap corak permainan dan taktikal yang diterapkannya terhadap skuad Harimau Malaya sebagai tidak berasas.
Menurutnya, tiada sebab untuk ianya dipertikai kerana lain jurulatih lain caranya, justeru menekankan bahawa dia tahu apa yang sedang dilakukan dan yang terbaik untuk pasukan.
“Kita tewas kepada Vietnam bukan kerana taktikal tetapi kerana hilang fokus. Keutamaan dalam bola sepak adalah penguasaan perlawanan, kerana di situlah disiplin bertahan yang terbaik di mana kita boleh menyimpan bola lama daripada membenarkan pasukan lawan merampasnya.
“Saya tiada masa untuk pedulikan kritikan orang, setiap jurulatih ada cara dan permainan yang mahu dipraktikkan. Saya rasa pemain sudah boleh terima dan faham falsafah yang kita terapkan, cuma sebab hilang fokus menyebabkan gawang pasukan dibolosi,” katanya.
Reaksi Cheng Hoe itu sebagai menjawab kritikan bekas pemain kebangsaan Bakri Ibni terhadap taktikalnya sepertimana dilaporkan akhbar tempatan pada Ahad.
Bakri berkata tindakan Cheng Hoe yang menekankan permainan menyerang berbanding menggunakan strategi bertahan ketika Malaysia menentang Vietnam di tempat lawan dalam aksi ketiga peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 itu adalah satu kesilapan besar.
Malaysia yang menang dua aksi pertama ke atas Kemboja dan Laos tewas 0-2 kepada Vietnam menerusi jaringan Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Anh Duc.
Kekalahan menyaksikan Malaysia tergelincir ke tangga ketiga Kumpulan A dan wajib menang ke atas Myanmar pada 24 November depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN