Selepas digantung satu perlawanan dan hanya melihat ditepi padang ketika final pertama di Bukit Jalil Selasa lalu, pemain pertahanan kanan, Syahmi Safari bersedia untuk membantu rakan rakan sepasukan di Hanoi dengan baki 90 minit terakhir Sabtu ini.

Cuaca yang sejuk ibarat cabaran tambahan, namun bagi Syahmi, ia bukan penghalang meskipun terpaksa mempersiapkan diri walaupun dalam tempoh masa yang singkat.

“Memang perlukan masa juga untuk sesuaikan diri dengan cuaca yang sejuk di sini. Tetapi rasanya pemain pemain bawah 23 tahun yang pernah beraksi di saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan  berlatih di Korea lebih sebulan sebelum ini rasanya mungkin tiada masalah.

“Dalam tempoh dua hari ini semua pemain perlu menyesuaikan diri secepat mungkin dengan cuaca sekarang ini,”kata Syahmi ketika sesi latihan Harimau Malaya di Hanoi semalam. 

 

Komen Muhd Syahmi Safari ketika sesi latihan Harimau Malaya di Hanoi

 

Selain Aidil dan Syazwan, perkembangan positif turut menyaksikan penjaring gol cantik ketika Malaysia menentang Thailand di Stadium Rajamangala ini dijangka berada dalam senarai kesebelasan utama Malaysia malam esok.

Syahmi tidak diturunkan ketika final pertama menentang Vietnam di Bukit Jalil Selasa lalu susulan penggantungan automatik satu perlawanan.

Andai diberi kepercayaan Tan Cheng Hoe Sabtu ini, Syahmi atau ‘Wak’ tidak akan memberi ruang mudah kepada Vietnam untuk melakukan serangan.

“Untuk diri saya perlu beri lebih lagi fokus berbanding perlawanan sebelum ini. Dengan baki 90 minit kita perlu habiskan dengan satu kemenangan.

“Saya akan buat yang terbaik dan akan beri segala yang ada untuk bantu pasukan,”kata Syahmi.

- Advertisement -