Oleh Muhammad Aiman
Jaringan penyerang veteran, Le Cong Vinh 10 minit sebelum tamat perlawanan membantu Vietnam membuka kempen Piala AFF Suzuki 2016 dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar, pada Ahad.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Thuwunna, Myanmar tampil dengan semangat tinggi dan menonjolkan permainan bertenaga, berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mengikat juara 2008 itu 1-1 pada minit ke-73 menerusi Aung Thu.
Namun Cong Vinh memastikan hasrat tuan rumah untuk setidak-tidaknya meraih satu mata tidak kesampaian apabila menyungkit hantaran Nguyen Trong Huang ke bumbung gawang menewaskan penjaga gol, Kyaw Zin Phyo.Â
Vietnam, pasukan ranking kedua Asia Tenggara turun selaku salah satu pilihan utama kejohanan ini setelah menunjukkan prestasi cemerlang hanya tewas sekali sepanjang tahun 2016 selain melakar lima kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir.
Mereka menepati reputasi itu apabila tampil dengan corak permainan menyerang menghiburkan dan menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-24 menerusi penyudah tenang Nguyen Van Quyet setelah menerima hantaran Luong Xuan Truong.
Jaringan itu sedikit menyentap semangat barisan pemain Myanmar, menyaksikan mereka mula hilang punca dan bergelut untuk mengimbangi permainan malah bernasib baik untuk kekal beraksi dengan 11 pemain apabila Yee Ko Oo tidak dilayangkan kad kuning kedua di penghujung babak pertama.
Vietnam berpeluang menggandakan kelebihan di separuh masa kedua, namun ketangkasan Zin Phyo beberapa kali menafikan hasrat skuad bimbingan Nguyen Huu Thang itu dan hanya selepas sejam perlawanan, Myanmar dilihat berjaya menyerap tekanan dan tampil dengan rentak permainan lebih agresif.
Sorakan lebih 20,000 penyokong bergema setelah Aung Thu melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Tran Nguyen Manh untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Pemain Myanmar dilihat lebih berkeyakinan selepas itu dan hampir sahaja mendapat jaringan kedua, namun percubaan Maung Maung Lwin didakap kemas Nguyen Manh pada minit ke-78.
Dua minit kemudian, Cong Vinh memastikan tiga mata milik Vietnam dengan menunjukkan sentuhan klinikal di depan gol. Kemenangan menyaksikan Vietnam berada di tangga kedua, di belakang Malaysia yang terlebih dahulu menewaskan Kemboja 3-2.
Vietnam dan Malaysia akan berentap dalam perlawanan seterusnya, Rabu ini.