Walaupun sudah begitu lama tersisih daripada mewakili pasukan bawah 23 tahun mahupun skuad senior Harimau Malaya, Nor Azam Azih masih menyimpan harapan agar namanya disenaraikan Tan Cheng Hoe bagi beraksi di Piala AFF Suzuki 2018 yang berlangsung bulan depan.

Nor Azam yang dianggap sebagai antara pemain tengah terbaik dalam negara yakin dia telah pulih sepenuhnya dari kecederaan dan bersedia memberikan komitmen andai khidmatnya diperlukan.

ā€œSaya sudah lama tidak menyarung jersi Malaysia, saya amat teringin untuk menyertai skuad negara kerana belum berkesempatan beraksi di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe. Sebelum ini beliau pernah menyenaraikan saya tapi disisihkan kerana cedera,ā€ kata pemain Pahang itu.

Walaupun tidak berpeluang untuk menyarung jersi skuad senior sehingga kini, Nor Azam memainkan peranan yang cukup signifikan ketika bersama Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Kejuaraan AFC B-23 pada Januari lalu.

Dia bagaimanapun tidak mendapat pelepasan daripada Pahang untuk menyertai skuad Kim Swee beraksi di temasya Sukan Asia, Ogos lalu dan terdapat pendapat yang mengatakan itu adalah salah satu punca namanya tidak pernah disenaraikan Cheng Hoe.

Ketika ini, Cheng Hoe sedang rancak bereksperimen dan adalah diketahui dia tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengemudi dan berfungsi sebagai enjin tengah pasukan.

Antara pilihan yang Cheng Hoe miliki adalah tiga pemain Johor Darul Takzim iaitu Nazmi Faiz Mansor, Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa; tiga pemain Perak iaitu Kenny Palraj, Nasir Basharudin dan Brendan Gan serta Akram Mahinan (Kedah) dan Azizzan Nordin (Sabah).

Namun dalam kesemua itu hanya Nazmi dan Natxo sahaja dilihat sebagai calon berkredibiliti mengambil kira minit bermain dan prestasi ditunjukkan tatkala Nasir pula dikhuatiri tidak sempat pulih daripada kecederaan yang dialami ketika menentang Kemboja pada bulan lalu.

Cheng Hoe dijangka mengumumkan senarai akhir skuad AFF Suzuki pada minggu ini dan skuad tersebut akan beraksi menentang Maldives di Bukit Jalil pada 3 November depan. –Ā OLEHĀ MUHAMMAD AIMANĀ 

- Advertisement -