Kisah Shahrel Fikri Fauzi gagal ujian kesihatan kerana injap jantung bocor sehingga tidak mendapat tempat dalam skuad Harimau Muda kira-kira lima tahun lalu adalah diketahui ramai.
Dia berhenti bermain bola selama lebih empat bulan dan ketika itu hampir sahaja menggantung but memikirkan bahawa tiada lagi masa depan di dalam arena bolasepak.
Tetapi tanpa berputus asa dan berbekalkan keyakinan diri yang tinggi, Shahrel bangkit mencipta nama sebagai salah seorang penggempur terbaik tempatan â terima kasih kepada Abu Bakar Fadzim yang mengambilnya beraksi bersama Piala Presiden Perak dan kemudiannya PKNP FC.
Tiga tahun berlalu, Shahrel tidak lagi berpaling, dia tampil klinikal dengan sentuhan jaringan cukup cemerlang yang memikat perhatian ramai.
Dia mengorak langkah dan menjadi pemain pertama Malaysia mengembangkan karier sehingga ke bumi Thailand, dengan menyarung jersi kelab Liga Divisyen Satu Nakhon Ratchasima malah dia merupakan pemain utama mereka.
Pada hari ini dia disebut-sebut sebagai penyerang nombor satu negara dan jika tidak diganggu isu kecergasan dan kecederaan, dia bakal menjadi sandaran utama Tan Cheng Hoe untuk merobek gawang lawan di Piala AFF Suzuki 2018 yang bermula minggu depan.
Tetapi bagi Shahrel, walaupun status sebagai pemain âluarâ mungkin menjadi satu kelebihan buatnya, dia tetap menganggap ia bukan tiket automatic untuk berada di dalam skuad akhir 23 pemain yang akan diumumkan selepas aksi persahabatan menentang Maldives pada 3 November.
âMemang saya yakin saya boleh memenangi kepercayaan jurulatih untuk berada di dalam skuad, tetapi ia adalah satu saingan yang sengit kerana semua pemain memberi komitmen lebih 100 peratus. Masing-masing tidak mahu tercicir, jadi tiada jalan mudah. Jangan sebab saya main Liga Thai maka tempat saya dianggap sudah terselamat,â kata Shahrel.
Shahrel yang setakat ini baru menjaringkan satu gol bersama Nakhon perlu bersaing dengan pemain senior seperti Zaquan Adha Abdul Razak dan Norshahrul Idlan Talaha, selain trio Johor Darul Takzim Ahmad Hazwan Bakri, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid.Â
Sebagai rekod, Shahrel membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya dalam kekalahan 1-2 kepada Syria Ogos tahun lalu dalam aksi persahabatan manakala gol pertama antarabangsanya hadir ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada September. – OLEH MUHAMMAD AIMAN