Pemain sayap lincah, Andik Vermansyah kembali disenaraikan di dalam skuad kebangsaan Indonesia yang akan beraksi di Piala AFF Suzuki 2018, hanya beberapa hari selepas namanya diketepikan daripada senarai 23 pemain oleh ketua jurulatih Bima Sakti.

Bekas pemain Persebaya dan Selangor itu dipanggil memperkuatkan sang garuda sebagai pengganti kepada Saddil Ramdani yang kini sedang dalam perbicaraan mahkamah berikutan dakwaan yang menyatakan dia telah memukul teman wanitanya.

Perkhabaran ceria buat pemain berusia 27 tahun itu hadir kurang 24 jam selepas dia menerima khabar kurang gembira apabila Kedah mengumumkan bahawa kontraknya tidak akan dilanjutkan.  

“Saya rasa berbangga apabila kembali dipanggil dan saya sedia memberikan yang terbaik buat skuad kebangsaan. Ini akan menjadi penampilan ketiga saya di Piala AFF.

“Semoga 2018 Indonesia akan menjadi juara. Keadaan saya sekarang sangat bagus dan tiada sebarang masalah kecederaan atau kecergasan,” ujarnya sepertimana dilaporkan oleh laman rasmi Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI).

Sebagai rekod, Andik sebelum ini bermain di Piala AFF Suzuki 2012 dan 2016.

Dalam senarai 23 pemain dikeluarkan Bima Sakti sebelum ini, menyaksikan dia memberi kepercayaan kepada pemain muda apabila menyenaraikan 15 pemain yang beraksi di Sukan Asia Jakarta -Palembang 2018 pada Ogos lalu.  

Indonesia yang pernah muncul naib juara sebanyak lima kali termasuk pada 2016 memburu kejuaraan sulung pada edisi kali ini dan mereka diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Thailand, Filipina, Singapura dan Timor Leste – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -