Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya Piala AFF Suzuki 2018, kejohanan bolasepak terbesar di rantau Asia Tenggara yang memasuki edisi ke-12 penganjuran.

Sejauh mana anda mengetahui tentang pencabar-pencabar di kejohanan dwitahunan ini? Kami membantu anda mengenali dengan lebih baik pasukan yang mengambil bahagian.

Filipina

Secara tradisinya pernah dianggap sebagai sebuah pasukan kerdil dalam saingan serantau, Filipina pada hari ini dititip sebagai salah satu pasukan yang perlu diberi perhatian.

Sejak pertandingan diperkenalkan pada 1996 sehinggalah edisi keenam pada 2007, the azkals tidak pernah melepasi halangan peringkat kumpulan, malah lebih teruk pada 2008 mereka gagal melayakkan diri ke pertandingan Piala AFF Suzuki.

Begitupun sekembalinya ke dalam pertandingan pada 2010, Filipina membuka lembaran baru dalam arena bolasepak mereka dengan melakar sejarah mara ke separuh akhir buat pertama kali dan mengulangi pencapaian sama pada 2012 dan 2014.

Paling hampir untuk layak ke final adalah pada edisi 2012 yang mana mereka kecundang agregat 0-1 kepada juara edisi tersebut Singapura di separuh akhir.

Begitupun ketika menjadi tuan rumah pertama kali pada 2016, Filipina gagal menepati ekspetasi dan tampil mengecewakan apabila kandas di peringkat kumpulan dan apa yang jelas mereka begitu membara mahu menebus kecewa itu kali ini.

Filipina juga telah melakar satu pencapaian yang cukup membanggakan dengan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Januari nanti, justeru Piala AFF sudah tentunya mereka mahu terlebih dahulu membuktikan sesuatu di sini dan menjadikannya platform persiapan terbaik sebelum terbang ke UAE.

Filipina akan membuka tirai saingan dengan menentang juara tiga kali, Singapura di Bacolod City pada 13 November; disusuli perlawanan menentang Timor Leste di Kuala Lumpur pada 17 November; sekali lagi bermain di Bacolod menentang juara bertahan Thailand pada 21 November; sebelum menutup aksi kumpulan dengan menentang Indonesia pada 25 November di Jakarta.

Antara aksi yang dijangka menjadi tumpuan adalah menentang Thailand kerana sejak menunjukkan peningkatan drastik dan ketika ini merupakan pasukan kedua terbaik Asia Tenggara dalam ranking FIFA, Filipina sentiasa bergelut menentang Thailand malah dalam lima pertembungan terakhir kedua-dua pasukan – kesemuanya dalam Piala AFF – Filipina tewas empat kali, seri sekali.

Justeru pertembungan kali ini mungkin peluang terbaik mereka untuk menamatkan badi itu apatah lagi Thailand bakal beraksi tanpa kelibat beberapa pemain utama mereka dan itu juga adalah satu indikasi bahawa saingan kali ini lebih terbuka.

Dengan adanya jurulatih bertaraf dunia dalam kelibat Sven Goran Eriksson, Filipina nyata cukup serius mahu mencipta impak dan melakar gemilang dalam saingan kali ini.  

Pemain tumpuan :

Phil Younghusband – Pemain dengan paling banyak penampilan dan juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Filipina dengan 51 gol. Pada usia 31 tahun Younghusband sedang meniti kemuncak kariernya, pengalaman luas di pentas antarabangsa, gaya permainan yang versatile dan penyudah tajam bakal menjadi taruhan utama pemain ini.

Manuel Ott – Ott telah mengukuhkan reputasinya sebagai pemain tonggak sejak membuat penampilan di Piala AFF 2014 ketika usianya baru 22 tahun. Dia adalah salah seorang pemain kunci dalam generasi emas Filipina yang mengangkat mereka ke kedudukan sekarang. Keupayaan teknikal serta fizikal memberi kelebihan kepada pemain ini untuk memenangi

Iain Ramsay – Pernah bermain di Iran dan Australia, pemain sayap serba boleh ini merupakan tonggak Felda United yang menjulang kejuaraan Liga Premier dan berada dalam motivasi terbaik untuk meneruskan pula musim cemerlangnya bersama pasukan kebangsaan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -