Piala AFF Suzuki 2018, kejohanan bolasepak terbesar di rantau Asia Tenggara yang memasuki edisi ke-12 penganjurannya akan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember depan.
Sejauh mana anda mengetahui tentang pencabar-pencabar di kejohanan dwitahunan ini? Kami membantu anda mengenali dengan lebih baik pasukan yang mengambil bahagian.
Indonesia
Sekembalinya dari penggantungan oleh FIFA beberapa tahun lalu yang turut menyaksikan bolasepak mereka melalui zaman gelap, Indonesia tidak menunggu lama untuk  kembali membuktikan kredibiliti mereka sebagai salah sebuah pasukan elit Asia Tenggara dengan muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2016.
Ia kemudian diteruskan dengan pencapaian hebat dan mengagumkan pasukan peringkat umur mereka yang muncul juara Kejuaraan AFF B-16, mara ke separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 serta melangkah ke pusingan kalah mati Kejuaraan AFC B-16, Kejuaraan AFC B-19 dan juga Sukan Asia 2018.
Justeru itu, meneruskan tahun cemerlang bolasepak mereka di pentas Piala AFF pastinya menjadi sasaran utama Indonesia yang memegang rekod sebagai pasukan kedua paling banyak layak ke perlawanan akhir pertandingan tersebut.
Namun di sebalik layak ke final edisi 2000, 2002, 2004, 2010 dan 2016, Indonesia masih lagi kemarau kejuaraan setelah tewas kesemua perlawanan tersebut dan sekadar berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara.
Peluang paling hampir buat sang garuda untuk menjulang kejuaraan adalah pada 2002 apabila skuad bimbingan Ivan Kolev ketika itu tewas 2-4 menerusi tendangan penalti kepada Thailand setelah masa sebenar berakhir 2-2 manakala pada 2016 pula mereka menang aksi pertama 2-1 namun kecundang aksi timbal balik 2-0 (agregat 2-3) juga kepada Thailand.
Selain itu, dalam 11 penampilan, Indonesia hanya gagal melepasi peringkat kumpulan sebanyak tiga kali iaitu pada 2007, 2012 dan 2014.
Sejauh mana pula peluang mereka dalam edisi 2018? Di atas kertas melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir mungkin dilihat satu sasaran realistik walaupun mereka berada di dalam kumpulan sukar bersama juara bertahan Thailand, Filipina, Singapura dan Timor Leste.
Aksi menentang Thailand pastinya antara yang dinantikan ramai dan menjanjikan saingan sengit, ia adalah ibarat ulangan final 2016 namun adalah diketahui Thailand tidak menghantar skuad terkuat mereka ke pertandingan ini dengan ramai pemain utama tidak disenaraikan.
Jadi sekiranya Indonesia yang mempertaruhkan rata-ratanya pemain skuad Sukan Asia 2018 mereka dapat menterjemahkan prestasi terbaik, tidak mustahil mereka dapat menamatkan aksi peringkat kumpulan selaku juara.
Skuad bimbingan Bima Sakti itu akan membuka kempen dengan menentang Singapura pada 9 November di Stadium Nasional Singapura; kemudiannya menentang Timor Leste di Jakarta pada 13 November; disusuli perlawanan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November dan aksi terakhir berdepan Filipina di Jakarta pada 25 November. Â
Pemain tumpuan :
Stefano Lilipaly – pemain tengah menyerang ini adalah antara kunci kekuatan skuad 2016 dengan membekalkan kreativiti dan cukup dominan sebagai enjin pasukan, malah menjaringkan dua gol. Di Sukan Asia lalu, dia diturunkan sebagai penyerang dan mencuri tumpuan dengan menjaringkan empat gol justeru dia dijangka bakal menjadi mimpi ngeri buat pertahanan lawan.
Evan Dimas – Baru berusia 23 tahun, pemain ini akan membuat penampilan ketiga di pentas Piala AFF. Dia adalah salah seorang pemain yang menyerlah dalam musim suram Selangor dan bakal menjadi antara sandaran Indonesia untuk merencanakan serangan.
Hansamu Yama – Setelah membuat penampilan di beberapa pertandingan besar sama ada bersama skuad B-23 dan senior sejak 2016, pemain ini telah mengukuhkan reputasinya sebagai nadi kekuatan pertahanan Indonesia. Pentas kini tersedia untuk pemain ini terus menapak membuktikan dirinya adalah salah seorang pemain pertahanan terbaik di rantau Asia Tenggara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN