Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya Piala AFF Suzuki 2018, kejohanan bolasepak terbesar di rantau Asia Tenggara yang memasuki edisi ke-12 penganjuran.

Sejauh mana anda mengetahui tentang pencabar-pencabar di kejohanan dwitahunan ini? Kami membantu anda mengenali dengan lebih baik pasukan yang mengambil bahagian.

Timor Leste

Penyertaan Timor Leste di pertandingan ini hanyalah kali kedua dalam sejarah bolasepak mereka selepas membuat penampilan sulung pada edisi 2004 (Piala Tiger), iaitu kira-kira setahun selepas membuat penampilan sulung di arena bolasepak antarabangsa.

Mereka ketika itu merupakan pengganti kepada Brunei Darussalam namun enam edisi berikutnya apabila jumlah pasukan dikecilkan kepada lapan pasukan bermula 2007 mereka gagal melayakkan diri setelah kandas di pusingan kelayakan.

Timor Leste kembali ke dalam pertandingan edisi kali ini setelah menewaskan Brunei 3-2 secara agregat di pusingan kelayakan pada September lalu.

Dengan hanya satu penampilan lampau dalam Piala AFF Suzuki, tidak banyak boleh diperkatakan mengenai pasukan ini namun apa yang pasti ianya adalah penampilan yang mahu mereka lupakan.

Ketika itu mereka diundi di dalam Kumpulan B dan menamatkan kempen dengan empat kekalahan berturut-turut kepada Thailand (8-0), Malaysia (5-0), Myanmar (3-1) dan Filipina (2-1).

Untuk saingan kali ini mereka telah diundi di dalam Kumpulan B yang dianggap sebagai kumpulan sukar, justeru jika mereka dapat tampil kompetitif dalam setiap perlawanan dan berjaya mencuri satu atau dua mata sekalipun sudah boleh dianggap sebagai satu peningkatan besar.   

Mereka akan memulakan kempen dengan menentang juara lima kali Thailand di Stadium Rajamangala pada 9 November, Indonesia di Jakarta pada 13 November, Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 November dan Singapura di Stadium Nasional pada 21 November.

Perlawanan menentang Thailand dan Filipina sepatutnya menjadi perlawanan di tempat sendiri buat Timor Leste tetapi memandangkan Stadium Dili Municipal mereka tidak dapat digunakan kerana masalah lampu limpah, ia dipindahkan ke venue lain.

Hadir sebagai pasukan paling kerdil dalam pertandingan ini, mungkin tidak banyak tumpuan diberikan kepada Timor Leste tetapi pertemuan menentang Indonesia yang dahulunya pernah ‘menakluk’ mereka pastinya antara pertembungan yang  menarik untuk disaksikan.

Dua negara berjiran itu pernah bertemu hanya sekali di peringkat senior sebelum ini dalam aksi persahabatan pada 2012, dengan Indonesia menang tipis 1-0 menerusi jaringan Bambang Pamungkas.

Pemain tumpuan:

Henrique Cruz – menjaringkan dua gol penting ketika menewaskan Brunei di pusingan kelayakan, pemain ini adalah sandaran utama Timor Leste untuk mengetuai jentera serangan mereka.

Rufino Gama – Baru berusia 20 tahun tetapi sudah mewakili skuad senior sejak berusia 18 tahun dan menjaringkan beberapa gol penting. Salah seorang pemain paling kreatif di dalam pasukan dan gandingannya bersama Henrique berpotensi membuatkan pertahanan lawan tidak senang duduk.

Jorge Sabas Victor – Pada usia 20 tahun, pemain pertahanan ini sudah diberi kepercayaan memakai lilitan di lengan selaku kapten pasukan ketika aksi kelayakan dan memainkan peranan dengan baik. Timor Leste akan menagih kredibiliti Victor untuk memimpin serta mengkoordinasi pertahanan dari asakan menggila pemain-pemain Thailand, Indonesia dan Filipina. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -