Kekalahan 0-2 Harimau Malaya di tangan Vietnam dalam aksi ketiga peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 sebenarnya tidaklah mengejutkan.
Walaupun sememangnya harapan besar diletakkan, tetapi sebelum perlawanan lagi sudah sedia diketahui kualiti berbeza kedua-dua pasukan, Vietnam merupakan pasukan terbaik rantau Asia Tenggara ketika ini dan berada di tangga 102 ranking dunia manakala Malaysia 169.
Ditambah pula kelebihan bermain di gelanggang sendiri dan rehat yang lebih lama, Vietnam memanfaatkan sebaiknya kelebihan itu untuk mengutip tiga mata.
Berikut sisi positif dan negatif berdasarkan pemerhatian kami terhadap perlawanan ini.
Positif
Harimau Malaya berupaya mendominasi perlawanan
Keputusan perlawanan mungkin tidak memihak Malaysia, tetapi dinilai secara keseluruhan prestasi ditunjukkan anak buah Tan Cheng Hoe, mereka bermain jauh lebih baik dari Vietnam dan lebih banyak mengatur gerakan, melakukan hantaran-hantaran kemas dan pada satu-satu masa dilihat begitu dominan mengawal permainan.
Cuma sayangnya setiap gerakan mahupun hantaran-hantaran tersebut tidak dapat untuk diterjemahkan kepada peluang jaringan dan mereka mendapati sukar untuk memecahkan tembok pertahanan Vietnam yang bermain defensif dengan cukup cemerlang.
Corak permainan ditunjukkan oleh the golden dragons lebih berkisar kepada ‘sit deep’ dan melakukan serangan balas apabila berjaya merampas bola daripada Malaysia.
Aidil dan Shahrul lebih mantap
Walaupun bolos seawal minit ke-11 permainan, gandingan dua pertahanan ini semakin menunjukkan keserasian dan persefahaman yang baik. Duo ini berjaya mematahkan banyak serangan balas yang dilancarkan oleh Vietnam. Perangkap ofsaid yang direncanakan juga berjaya mematikan Vietnam beberapa kali. Sejujurnya, jika tidak kerana dua gandingan ini, Harimau Malaya berkemungkinan akan bolos lebih banyak gol melalui serangan-serangan balas oleh Vietnam.
Syafiq berpotensi menjadi pemain tengah kreatif
Sepanjang perlawanan, antara kritikan hebat dilemparkan kepada Harimau Malaya adalah tiadanya tenaga kreatif di posisi tengah yang berupaya membantu merencanakan serangan dengan lebih baik kerana seperti diketahui kelibat Akram Mahinan dan Syamer Kutty Abba kedua-duanya memainkan peranan sama sebagai tengah bertahan untuk mematahkan serangan.
Tan Cheng Hoe membuat pertukaran akhir dengan mengeluarkan Syamer Kutty dan memasukkan Syafiq Ahmad. Walaupun posisi asal Syafiq adalah penyerang, kemasukannya berjaya menampung kepincangan di posisi tengah, dia cemerlang mengemudi tengah dan membantu Harimau Malaya untuk menyerang dengan lebih yakin.
Negatif
Syahmi Safari dan Syazwan Andik mengecewakan
Malaysia dilihat agak pincang di kedua-dua belah pertahanan kiri (Syazwan Andik Ishak) dan kanan (Syahmi Safari) yang kerap hilang fokus dan melakukan kesilapan mudah.
Selain menjadi lubuk buat Vietnam untuk melancarkan serangan, mereka juga mudah tertewas apabila berhadapan situasi satu lawan satu dengan pemain sayap Vietnam. Malah persembahan mereka ketika melakukan serangan juga disulami dengan tampanan yang kurang kemas dan hantaran yang tidak sampai kepada rakan sepasukan.
Malaysia tergelincir ke tangga ketiga kumpulan
Walaupun baru tewas pertama kali, Malaysia tergelincir ke tangga ketiga Kumpulan A setelah Myanmar bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Laos 3-1.
Ini menyaksikan Myanmar melonjak ke tangga teratas dengan enam mata menerusi jumlah beza jaringan yang jauh lebih baik manakala Vietnam di tangga kedua juga dengan enam mata sekaligus meletakkan peluang Malaysia ke separuh akhir dalam kedudukan 50-50.
Malaysia yang turut mengumpul enam mata perlu mengharapkan Vietnam menewaskan Myanmar dalam aksi seterusnya dan kemudiannya mereka sendiri perlu menewaskan pasukan itu dalam aksi terakhir kumpulan pada 24 November nanti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN