Tatkala Malaysia siap sedia untuk berentap dengan Vietnam dalam aksi final Piala AFF Suzuki 2018, antara soalan popular yang menghujani rata-rata pengamal media, pemain-pemain, pegawai pasukan, mahupun orang dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah “bro, ada tiket?”.
Tidak ketinggalan dihujani dengan soalan sama adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beliau ada cara tersendiri untuk menjawab soalan itu.
“Saya rasa dalam dua tiga hari ini semua nak whatsapp atau SMS saya minta tiket final. Ada juga yang minta bilik korporat di stadium.
“Saya senang je, saya cakap kepada mereka kalau nak bilik korporat, bayar RM20,000 untuk membeli slot tersebut atau kalau nak tiket biasa, bayar RM40 seperti penyokong lain. Tiada keistimewaan kepada sesiapa baik orang kenamaan atau menteri sekalipun,” ujar Syed Saddiq.
Tambahnya, “Pegawai-pegawai menteri dan kementerian pun sama semua kena bayar kalau mahukan tiket. Kita nak majukan industri sukan tapi saya rasa kalau semua nak percuma, boleh terus bermimpi. Budaya ini perlu diubah.”
Syed Saddiq juga mendedahkan penjualan kerusi korporat kepada orang kenamaan sudahpun diamalkan dalam dua perlawanan Piala AFF yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini dan berjaya mengutip kira-kira RM500,000.
“Sebelum ini kita memang ada dua bilik korporat, tetapi dahulu bilik korporat itu kita hanya beri percuma kepada menteri. Buat apa nak bagi menteri duduk? Baik kita sewa atau jual. Bila kita mula jual baru-baru ini, dalam dua perlawanan Piala AFF sahaja kita dapat setengah juta!
“Sebab itulah saya lantik Tan Sri Tony Fernandes sebagai pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Itu pun ada yang merungut. Beliau dilantik sebab kita perlu jadikan stadium ini sebagai tempat untuk menjana pendapatan yang lebih besar,” katanya lagi.
Malaysia akan berdepan Vietnam dalam aksi final pertama di Bukit Jalil pada 11 Disember ini manakala aksi timbal balik akan berlangsung di Hanoi pada 15 Disember.
Sementara itu, puluhan ribu penyokong membanjiri stadium sejak Sabtu malam dan tidur di hadapan kaunter Stadium Nasional untuk merebut baki 40,000 tiket yang mula dijual secara fizikal bermula pagi ini (Ahad).
FAM juga akan membuka kaunter khas di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya (hanya hari ini sahaja dari jam 10 pagi – 5 petang) buat penyokong Harimau Malaya yang memiliki keratan tiket separuh akhir kedua di Bangkok, Rabu lalu.
“Bagi pembelian di kaunter khas ini, sila bawa kad pengenalan (MyKad) dan bukti pembelian seperti keratan tiket atau bukti slip pembayaran tiket separuh akhir kedua.
“Jika ia hilang, sila bawa pasport Malaysia anda sebagai bukti keluar masuk ke Thailand untuk ke perlawanan tempoh hari,” jelas kenyataan daripada FAM. – OLEH MUHAMMAD AIMAN