Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak terlalu terbuai dengan kejayaan melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2018 sebaliknya mahu mereka menoktahkan perjuangan ini dengan bergelar juara.
Cheng Hoe mengakui mara ke final dengan menyingkirkan pasukan pilihan yang juga juara bertahan Thailand dibseparuh akhir merupakan  kejayaan yang akan dikenang selamanya dalam memori, namun menuntut pemain segera kembali berpijak di bumi nyata dan kekal fokus menjelang perlawanan akhir pada 11 dan 15 Disember depan.
“Ia perlawanan yang paling mendebarkan buat saya sepanjang bergelar pemain mahupun jurulatih. Thailand dua kali mendahului malah turut mendapat penalti minit akhir. Kini perlawanan menentang Thailand sudah menjadi satu memori, satu sejarah.
“Kita sekarang sudah berada di final dan tidak boleh berpuas hati kerana sudah capai sasaran ditetapkan, sebaliknya dalam mana-mana pertandingan sekalipun apabila layak ke final kita kena sasarkan muncul juara.
“Kita kena membuktikan betapa kita layak ke final sememangnya kerana kita layak dan bukannya kerana nasib atau kebetulan, menang ke atas Thailand bukan jaminan boleh muncul juara. Untuk itu pemain perlu kekal fokus dan berdisiplin,” kata Cheng Hoe.
Keputusan seri 2-2 dalam aksi timbal balik di Stadium Rajamangala pada Sabtu menyaksikan Malaysia menempah tiket beraksi di final buat kali keempat selepas 1996, 2010 dan 2014.
Sebagai rekod, Harimau Malaya pernah muncul juara sekali pada 2010 dengan menewaskan Indonesia dan ketika itu Cheng Hoe merupakan penolong kepada ketua jurulatih, Datuk K.Rajagobal.
Sementara itu mengenai pertemuan menentang Vietnam di perlawanan akhir, Cheng Hoe berkata, “Sejak dari awal saya katakan Vietnam akan menjadi pencabar terkuat kerana mereka sememangnya telah menunjukkan satu kualiti yang baik dalam 3-4 tahun kebelakangan.
“Mereka berada satu tahap yang lain malah telah layak ke Piala Asia. Sudah tentu kita menanti penuh semangat untuk berdepan mereka seterusnya menebus semula kekecewaan tewas 0-2 kepada mereka dalam aksi peringkat kumpulan bulan lalu,” ujarnya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN