#Berbekalkan pengalaman yang luas, Aslan dan Chelsea mampu ungguli saingan kategori usia masing-masing

Aslan Adnan dan Chelsea Ning Lee bakal menjadi sandaran podium tuan rumah Malaysia bagi Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) yang akan berlangsung di Tasik Putrajaya dari 2 hingga 4 Februari depan.

Aslan, 15, dan Chelsea, 18, merupakan antara 21 perenang muda yang dipertaruhkan oleh Persatuan Renang Malaysia (MAS) untuk menggalas cabaran negara dalam kejohanan yang diadakan buat julung kalinya itu.

Sebanyak enam kategori membabitkan kumpulan usia berasingan akan dipertandingkan di SEAOWSC membabitkan jarak 5km dan maraton 10km untuk lelaki dan wanita serta renang berganti-ganti berpasukan campuran 4×1.5km.

Kumpulan usia dibahagikan kepada empat kesemuanya iaitu 14-15, 16-17, 18-19 dan Terbuka (20 dan ke atas).

Kecuali saingan Terbuka, Malaysia akan diwakili dalam kesemua tiga kumpulan usia yang yang lain dengan tumpuan pastinya terarah kepada Aslan dan Chelsea, yang dijangka mencabar untuk pingat dalam saingan lelaki 14-15 dan wanita 18-19 masing-masing.

Mereka berdua memiliki pengalaman kompetitif yang luas termasuk pernah bertanding di Kejohanan Remaja Dunia di Seychelles pada September tahun lalu.

Chelsea, yang bercita-cita untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, berazam untuk memanfaatkan peluang bersaing di SEAOWSC dan mengukur sejauh manakah kebolehannya berbanding dengan atlet-atlet yang sebaya dengannya di rantau ini.

“SEAOWSC akan menjadi kejohanan rasmi peringkat Asia Tenggara yang pertama disertai saya dan rakan-rakan lain, justeru peluang keemasan ini pasti tidak akan kami sia-siakan,” kata Chelsea, yang merupakan naib juara kategori Terbuka Oceanman Indonesia 2022 di Bali.

“Selain Sukan SEA, inilah peluang terbaik untuk kami cuba meraih gelaran perenang terbaik di Asia Tenggara.

“Beraksi di laman sendiri, saya akan mencuba sedaya upaya untuk mengharumkan nama negara dengan sekurang-kurangnya meraih podium dalam kategori saya.”
Aslan juga melahirkan kesungguhan yang tinggi untuk mengharumkan nama negara.

“Kejohanan ini menghimpunkan pesaing-pesaing terbaik di rantau ini, jadi ini pentas terbaik untuk saya buktikan kemampuan diri saya. Mudah-mudahan saya akan dapat menempatkan diri di atas podium nanti,” kata Aslan yang merupakan juara Oceanmankids Krabi 2019.

Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Kevin Yeap yang ditugaskan untuk melatih skuad kebangsaan untuk kejohanan ini, berkata Malaysia memiliki sekumpulan perenang muda boleh diasah bakat mereka dan diketengahkan ke peringkat dunia kelak.

Justeru katanya, penganjuran SEAOWSC tiba tepat pada masanya kerana disiplin renang terbuka bakal membuat kemunculan semula di Sukan SEA Thailand pada 2025 dan seterusnya pada 2027 apabila Malaysia kembali menjadi tuan rumah.

“Chelsea dan Aslan adalah dua perenang yang kita boleh letakkan harapan untuk memenangi kategori usia mereka. Ini sasaran realistik kerana mereka memiliki pengalaman yang mencukupi untuk mengorak strategi perlumbaan,” kata Kevin.

“Saya akan usahakan yang terbaik untuk memberi motivasi dan membimbing mereka di sepanjang tempoh persediaan sehinggalah hari perlumbaan nanti.

“Bagi perenang-perenang muda yang lain, harapan saya adalah untuk melihat mereka berjuang sehingga garis penamat.

“SEAOWSC akan menjadi satu batu loncatan kepada usaha kami dalam menyediakan satu pasukan renang perairan terbuka yang berwibawa untuk bersaing di Sukan SEA nanti.

Setelah kali terakhir dilangsungkan di KL 2017, kami menjangkakan ia dipertandingan semula di Thailand pada 2025 dan seterusnya KL 2027.”

Malaysia gah dengan tradisi yang kuat dalam sukan renang perairan terbuka kerana telah menyapu bersih dua pingat emas di KL 2017 menerusi Kevin dan Heidi Gan, yang merupakan Olimpian negara di London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Antara nama besar yang bakal menyerikan SEAOWSC adalah perenang Indonesia Aflah Fadlan Prawira dan perenang Thailand Kittiya Tanakrit.

SEAOWSC mendapat sanksi Persekutuan Renang Asia Tenggara (SEASF) dan MAS dan dikelolakan oleh pengurus acara Hybrid Management Sdn. Bhd.

- Advertisement -