Mohd Assri Merdzuki dan Syed Mohd Agil Syed Mohd Naguib menepati ramalan selaku pilihan utama dengan muncul juara acara beregu tenis lelaki Kejohanan Terbuka KL 2017, hari ini (31 Julai).
Dalam perlawanan akhir di Kompleks Tenis Jalan Duta itu, pasangan beregu itu mengalahkan rakan sepasukan, Ahmad Deedat Abd Razak dan Koay Hao Sheng menerusi kemenangan 6-2 ,7-5 dalam masa satu jam 12minit.
Ketua jurulatih skuad tenis negara, Muliyadi Jamal berkata, pasangan beregu tenis negara itu baru sahaja kali pertama digandingkan bersama di kejohanan itu selepas lima minggu Syed Agil berehat ekoran mengalami kecederaan di tangan kanannya.
“Pasangan beregu lelaki yang kita harapkan telah mencapai sasaran merangkul kejuaraan untuk kali kedua di Kejohanan Terbuka KL ini.
“Walaupun ini adalah kali pertama selepas lima minggu tidak beraksi bersama, Alhamdulillah mereka menunjukkan kombinasi yang amat positif menerusi permainan sepanjang lima hari perlawanan ini berlangsung,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Terbuka KL 2017, di sini hari ini (31 Julai).
Mengulas lanjut mengenai kesimpulan bagi keseluruhan perlawanan kejohanan itu, Muliyadi berkata skuad tenis negara masih punya masa lagi untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
“Daripada kejohanan ini, kita lihat pemain ‘Kita Juara’ masih lagi punya ruang untuk perbaiki kelemahan dari segi keserasian beregu dan ‘single game tactics’ bagi pemain perseorangan lelaki dan perempuan,” katanya lagi.
Muliyadi turut menjelaskan ketiadaan pasangan beregu kepada Jawariah Noordin, S Theiviya Selvarajoo semasa kejohanan itu ekoran daripada kecederaan yang dialaminya.
“Sepatutnya Theiviya berpasangan dengan Jawariah untuk kejohanan ini, tetapi kita letakkan Jawariah berpasangan dengan Aslina kerana Theiviya mengalami kecederaan dan Alhamdulillah pasangan beregu itu menjuarai perlawanan tersebut dengan 6-4, 6-1 mengalahkan pasangan Vietnam.
“Namun saya yakin, kecederaan yang dialami Theiviya akan pulih sebelum perlawanan tenis Sukan SEA pada 21 Ogos ini berlangsung dan saya tetap akan letakkan Jawariah bergandingan dengan Theiviya berdasarkan kepada ranking semasa mereka sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, harapan untuk menyaksikan pemain negara menyapu bersih tidak kesampaian apabila Aslina Chua An Ping tumbang dalam aksi final acara perseorangan wanita selepas itu.
Ternyata Aslina bukan tandingan kepada lawannya dari Uzbekistan, Polina Merenkova apabila tewas 6-1, 7-5 manakala acara perseorangan lelaki dimenangi pemain dari Indonesia, David Agung Susanto mengalahkan pemain Cambodia, Kenny Bun dengan 6-3, 6-3. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI