Teka teki tentang atlet negara yang gagal dalam ujian doping terlerai apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengumumkan nama Wendy Ng Yan Yee.
Setiausaha ASUM, Mae Chan mengesahkan atlet terjun yang memenangi dua pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos lalu, Ng Yan Yee disahkan positif mengambil bahan terlarang sibutramine.
Ini bermakna, Malaysia kehilangan satu pingat emas bagi acara terjun seirama 3 meter menerusi gandingan Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri.
Pingat emas bakal dimenangi pasangan dari negara Singapura, Ashlee Tan – Fong Kay Yian yang meraih pingat perak pada Ogos lalu.
Namun, satu lagi emas yang dimenangi oleh Ng Yan Yee menerusi acara terjun 3m individu masih lagi menjadi milik Malaysia selepas pemenang pingat perak adalah seorang lagi atlet negara, Nur Dhabitah.
Nama Ng Yan Yee tidak disenarai bagi Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur yang akan bermula esok dan satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara tersebut.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo turut mengesahkan ujian bagi sampel B yang telah dilakukan di New Delhi, India adalah positif.
Notis tentang ujian doping bagi sampel A dan B yang telah dijalankan akan diserahkan kepada atlet tersebut kelak untuk tindakan samada mengemukakan rayuan atau menerima keputusan tersebut.
Sibutramine merupakan bahan yang dilarang yang disenarai oleh Agensi antidoping Dunia (WADA) awal tahun ini.
Wendy Ng Yan Yee bakal berdepan penggantungan daripada menyertai atau melibatkan diri dalam sebarang sukan berkaitan selama dua tahun. –Â OLEH KU MOHD LUFTIÂ