Selepas dua perlawanan peringkat kumpulan J, Malaysia tampak semakin bersemangat untuk mengharungi aksi terakhir menentang China malam esok.
Namun bukan tugas mudah kerana China diibarat pasukan yang serba lengkap dan mempunyai gandingan pemain yang saling melengkapi di setiap posisi.
Misi Malaysia adalah wajib menang walaupun dengan hanya satu gol untuk mengesahkan slot ke pusingan akhir.
Namun, China pastinya tidak mahu memberikan kemenangan itu kerana matlamat yang sama, mahukan kemenangan sekaligus layak ke Thailand tahun depan.
Semua sedia maklum, beza diantara Malaysia dan China dapat dilihat dengan ketara khususnya dibahagian serangan.
China meledak 13 gol selepas dua perlawanan, menang 5-0 ke atas Laos dalam aksi pembukaan Jumaat lalu sebelum membelasah Filipina 8-0 pada Ahad.
Manakala Malaysia membuka kempen kumpulan J dengan kemenangan 3-0 ke atas Filipina sebelum jaringan Safawi Rasid menyelamatkan Malaysia daripada tercicir mata ke atas Laos.
Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan tiga mata yang diperolehi, namun kecewa dengan mutu permainan yang dipamerkan.
 “Sudah tentu persembahan pemain pemain tidak begitu baik selepas beberapa pertukaran dilakukan. Kami mencipta beberapa peluang di separuh masa pertama tetapi gagal menyudahkannya.
“Kami terpaksa mengejar gol dan ia mungkin menyebabkan persembahan pemain pemain tidak begitu baik,”kata Kim Swee.
Dengan baki kurang 24 jam sebelum sepak mula menentang China, Kim Swee tampak yakin mampu mencipta sesuatu di Shah Alam.
Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selain sokongan penyokong dilihat menjadi tonik terbaik buat skuad bawah 23 tahun negara untuk mencipta kejutan.
“Yang penting kita perlu dapatkan kemenangan. Bukan mudah tetapi tidak mustahil dan kita akan turun pada Selasa nanti dengan satu objekti, kita perlukan kemenangan untuk layak secara automatik.
“Kita tahu China merupakan pasukan yang bagus. Tetapi beraksi di tempat sendiri, saya yakin kita mampu bersaing dan memberikan tentangan sengit kepada pasukan China,”kata Kim Swee lagi.
11 pasukan yang mengungguli kumpulan layak secara automatik manakala empat lagi slot akan diisi diantara 11 pasukan yang menduduki tangga kedua berdasarkan peraturan antaranya jumlah kutipan mata, perbezaan gol, dan jumlah gol.