Penundaan Sukan Olimpik Tokyo memberi ruang buat atlet karate negara membuat persiapan lebih terperinici.

Namun bagi S.Prem Kumar, beliau perlu bekerja lebih keras untuk ke Tokyo tahun depan memandangkan tuan rumah Jepun hanya mempertandingkan 3 kategori sahaja.

Ini kerana beliau perlu menyertai kategori bawah 67 kilogram, berbanding kategori asal beliau iaitu 55-60 kilogram.

“Peluang saya untuk layak ke Tokyo amat sukar kerana kategori saya tidak dipertandingkan di sana. Saya perlu naikkan berat badan untuk beraksi dalam kategori baru”.

Berbeza buat R.Sharmendran, beliau mengakui peluang buat dirinya ke layak ke Tokyo adalah 50-50.

Justeru tempoh latihan panjang sebelum aksi kelayakan bermula awal tahun depan memberi ruang buat beliau memperbaiki kelemahan selepas hampir 3 bulan tanpa latihan intensif.

“Sepanjang tempoh enam bulan ini saya akan membuat persediaan rapi sebelum kembali menyertai pusingan kelayakan tahun depan”.

Perkara sama turut diakui jurulatih, S.Mahendran yang menjelaskan program latihan ketika ini lebih menumpukan latihan asas sebelum latihan intensif diberikan kepada mereka.

“Minggu pertama latihan kita dapat lihat atlet bergelut untuk kembali mendapatkan rentak dalam latihan. Namun memasuki minggu ketiga mereka sudah mula biasa dengan latihan yang disediakan”.

Karate dipertandingkan buat pertama kali di temasya Sukan Olimpik melibatkan 4 acara.

- Advertisement -