Oleh Muhammad Aiman
Semua atlet negara yang akan beraksi di temasya Sukan Olimpik pada Ogos depan, akan melalui ujian doping dikendalikan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sebelum mereka bertolak ke Rio De Janeiro.
Chef De Mission kontijen negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, “Kita telah diberi penerangan oleh ADAMAS mengenai anti-doping. Mereka akan melakukan ujian secara rawak, tiada tarikh khusus, bergantung kepada bila atlet-atlet ada di sini. ”
Tan Sri Mohamed Al Amin bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan Ke-2 Sukan Olimpik Rio di Institut Sukan Negara, pada Rabu.
Beliau menjelaskan Majlis Olimpik Malaysia pada mesyuarat itu turut menerima penerangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia masing-masing mengenai kebimbangan terhadap virus zika, demam kuning serta isu-isu keselamatan di Rio.
Sementara itu, Tan Sri Mohamed Al Amin menjangkakan minimum 32 atlet akan melayakkan diri untuk beraksi di Rio menjelang tarikh tutup penyertaan pada 11 Julai depan.
“Kita sudah ada 26 atlet, kita jangkakan empat lagi menerusi sukan golf, dua lelaki dan dua wanita, serta dua menerusi slot wildcard. Kita berharap semua akan berjalan lancar, dan kesemua atlet kita akan berada di perkampungan sukan menjelang 4 Ogos.”
26 atlet yang sudah mengesahkan tempat di Rio adalah Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng, Pandalela Renong, Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Amsyar Azman (terjun), Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa (berbasikal), Johnathan Wong (menembak), Welson Sim, Heidi Gan (renang), Khairulnizam Affendy, Nur Shazrin (pelayaran), Nauraj Singh (olahraga), skuad memanah lelaki dan Hafifi Mansor (Angkat Berat).
Mereka akan disertai pembawa jalur gemilang Dato’ Lee Chong Wei, V Shem/Wee Keong, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Tee Jing Yi dan Woon Khe Wei/Vivian Hoo dari sukan badminton.