Oleh Ku Mohd Lufti
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan atlet paralimpik bakal menerima imbuhan yang sama seperti atlet olimpik.
Pemenang pingat emas bakal menerima durian runtuh RM 1 Juta dan elaun bulanan berjumlah RM 5 000, RM 300 000 bagi pingat perak beserta RM 3 000 manakala RM 100 000 ditambah RM 2 000 untuk pemenang pingat gangsa.
Jumlah ini meningkat berbanding RM 300 000, RM 200 000 dan RM 100 000 untuk pemenang pingat emas, perak dan gangsa.
Khairy juga mengharapkan kejayaan kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Rio meraih lima pingat baru-baru ini, perlu dijadikan inspirasi bagi atlet paralimpik pada Sukan Paralimpik Rio dari 7 hingga 18 Sept ini.
“Anda (atlet) perlu percaya, anda luar biasa dan akan meraih kejayaan luar biasa di Rio nanti. Saya mahu semua buat yang terbaik, kepada atlet yang menyasarkan podium, pastikan anda di atas podium.
“Sekiranya tidak dapat podium pastikan anda dapat mencipta rekod kebangsaan, melakukan catatan peribadi terbaik. Saya tidak mahu ‘pelancong sukan’ di Rio,” katanya pada majlis perjumpaan bersama atlet paralimpik negara.
Kontinjen paralimpik negara akan ke Rio pada Isnin, 21 atlet mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 jenis sukan iaitu olahraga, berbasikal, powerlifting, memanah, ping pong, pelayaran, tenis kerusi roda dan renang.