Kegemilangan atlet terjun negara semakin dibayangi dengan insiden memalukan apabila video melibatkan atlet terjun sedang bergembira sambil meminum minuman beralkohol tersebar.
Menerusi kenyataan media, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) telah melakukan siasatan termasuk memanggil atlet yang terlibat.
“Kami mengesahkan tiga atlet senior yang berada di dalam Program PODIUM, dan empat atlet remaja daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) terlibat dan mereka mahu menjelaskan keadaan.
“Jawatankuasa siasatan akan menentukan tindakan yang bakal dikenakan terhadap mereka dan ia akan diserah kepada Jawatankuasa Displin ASUM. Dalam pada itu, elaun mereka akan digantung berkuat kuasa serta merta,”kata Setiausaha ASUM, Mae Chan.
Tambahnya lagi, ASUM, MSN dan ISN telahpun mengadakan perjumpaan dengan atlet atlet terlibat.
Penerjun negara berada di China selama sebulan bermula Januari untuk menjalani latihan pusat sebagai persiapan untuk menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia 1 dan 2 di China dan Jepun.
Meskipun tiga jurulatih untuk mengawasi atlet berkenaan, namun sikap cuai menjadi penyebab atlet terlibat ‘bebas’ untuk bergembira.
Kesemua atlet yeng terlibat bagaimanapun mengaku bersalah dan diberikan amaran oleh ASUM. Malah, mereka mahu memohon maaf secara terbuka.
Kem terjun pada 2017 cukup panas apabila jurulatih dari China, Huang Qiang didakwa di mahkamah kerana gangguan seksual terhadap atlet terjun negara, namun dibebaskan.