Oleh Muhammad Aiman
Zahasmi Ismail tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi ketua jurulatih baru Kelantan itu bertekad memulihkan semula reputasi mereka sebagai sebuah pasukan elit dan kembali meletakkan pasukan itu di kedudukan mereka sepatutnya berada.
Meskipun sedar ianya satu tugas berat apatah lagi The Red Warriors kehilangan beberapa pemain tonggak, Zahasmi tidak menganggap ianya sebagai tekanan sebaliknya melihat ia sebagai satu cabaran bagi mempersiapkan sebuah skuad berdaya saing.
“Ini bukan satu situasi yang baru bagi saya, saya pernah melalui situasi kehilangan pemain-pemain utama ketika menjadi penolong sebelum ini dan inilah antara tanggungjawab yang perlu saya pikul. Tanggungjawab untuk membentuk pasukan mantap mengikut kemampuan kita ada, dalam masa sama boleh memberi saingan kepada pasukan-pasukan lain.
“Saya sudah meneliti senarai pemain yang ada, mungkin ada beberapa pemain keluar, tapi kita masih ada ramai pemain muda, selain Indra Putra (Mahyuddin) yang kaya dengan pengalaman. Saya akan guna pengalamannya untuk beri dorongan kepada barisan pemain muda ini,” ujar Zahasmi.
Antara pemain yang sah meninggalkan kem Kelantan adalah Wan Zack Haikal, Abdul Manaf Mamat, Norhazrul Mustafa, Faizal Abu Bakar, Wander Luiz dan Jonathan McKain manakala kedudukan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pula masih dalam keraguan.
Dengan kantung KAFA tidak dalam keadaan begitu stabil, TRW dijangka mempertaruhkan lebih ramai pemain dari skuad juara Piala Presiden baru-baru ini antaranya Raihan Huzaizi, Fikram Mohamad, Shafiq Abdul Rahman manakala ketua pasukan Faris Shah Rosli pula telahpun beberapa kali tampil dalam skuad senior tahun ini.
Namun apa yang dikhuatiri, sekiranya pemain-pemain berkenaan diserap adakah mereka akan mendapat peluang untuk beraksi atau sekadar menjadi penonton dari bangku simpanan sama seperti penjaring terbanyak Piala Presiden 2015, Fakhrul Zaman Zawawi ataupun penjaring terbanyak 2011, Khairul Izuan Rosli.
Ataupun mungkin juga seperti penjaga gol yang datang dari Harimau Muda, Ramadhan Abdul Hamid yang mana bakat kesemua mereka disia-siakan dengan hanya diletakkan sebagai pemanas bangku simpanan.
Bagi Zahasmi, siapapun pemain yang menyarung jersi merah keramat TRW, Kelantan sebuah pasukan yang bukan calang-calang dan tetap akan menjadi sebuah pasukan yang perlu diberi perhatian oleh pencabar lain.
Untuk rekod, di sebalik pelbagai kekangan dan kemelut yang melanda tahun ini, Kelantan masih berupaya menamatkan musim 2016 di kedudukan keempat liga, layak ke suku akhir Piala Malaysia dan kandas di pusingan kedua Piala FA.