Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dato’ Seri Norza Zakaria secara rasminya dipilih sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang baru menggantikan Tunku Imran Tuanku Jaaffar selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Tahunan MOM ke-37 pada Sabtu.
Begitupun tumpuan pemilihan kepimpinan baru MOM terarah kepada kejutan besar bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden setelah calon favourite Senator Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin tewas kepada Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Megat yang merupakan Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) tewas dengan kiraan 55-44 (majoriti 11 undi) kepada Azim yang merupakan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).
Dato’ Mohd Nazifuddin Najib yang sebelum ini merupakan Naib Presiden pula dipilih sebagai Setiausaha Agung menewaskan penyandang sebelum ini, Dato’ Low Beng Choo dengan majoriti hanya satu undi, 49-48.
Manakala bagi jawatan Naib Presiden, ianya buat pertama kali menyaksikan dua wanita terpilih iaitu Datuk Paduka Mumtaz Jaffar (naib presiden Kesatuan Olahraga Malaysia) dan Profesor Dato’ Dr Shamala Subramaniam (Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia).
Tiga lagi individu yang memenangi kerusi Naib Presiden adalah Mahinda Vallipuram (Presiden Persatuan Kriket Malaysia), Dato’ Ong Poh Eng (Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia) dan Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim (Presiden Persekutuan Petanque Malaysia).
Jawatan lain, Chan Foong Keong (Penolong Setiausaha Agung Lelaki); Moira Tan Siew See (Penolong Setiausaha Agung Wanita); Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin (Bendahari) dan Dato’ Amarjit Singh Gill (Penolong Bendahari). – OLEH MUHAMMAD AIMAN