Ole Ku Mohd Lufti
Selepas diumumkan sebagai Ketua Kontinjen atau Chef de Mission (CDM) Indonesia ke Sukan SEA yang akan berlangsung Ogos nanti, Aziz Syamsuddin menyambut tawaran tersebut dengan penuh semangat.
Namanya disenarai sebagai individu paling layak untuk menggalas tugas sebagai CDM bagi kontionjen Indonesia selepas dipersetujui oleh Jawatankuasa Olimpik Indonesia (KOI) dan Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora) Indonesia.
“Saya sudah terima perlantikan sebagai CDM daripada pihak KOI dan Kemenpora beberapa hari lalu. Saya bersedia untuk melaksanakan amanah yang diberi semaksimum yang mungkin demit tanah air,”kata Aziz.
Beliau yang juga Ketua Umum Pusat Persatuan Kriket Indonesia (PP PCI) tidak mahu menunggu lama untuk melantik ahli ahli jawatankuasa lain untuk membantunya sepanjang persiapan dan ketika temasya Sukan SEA ke 29 nanti.
Kesemua negara peserta yang terlibat dengan Sukan SEA ke 29 yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos diminta untuk menyediakan nama Chef de Mission selewat lewatnya 30 April.
Pengurusan KOI berpendapat, pemilihan Aziz sebagai CDM negara itu adalah kerana pengalamannya sebagai bekas atlet selain mampu menguruskan persatuan kriket dengan berkesan.
Dalam pada itu, KOI juga masih belum memuktamadkan jumlah sukan yang akan disertai, kerana perlu menumpukan latihan pusat bagi persiapan atlet.
Aziz Syamsuddin dipilih sebagai CDM Indonesia ke Sukan SEA ke 29 selepas lagenda badminton negara itu, Susy Susanti yang dipilih pada awalnya menolak jawatan tersebut.
Susy yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1992 menolak kerana jadualnya yang padat di Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).