Jaguh Keirin negara, Mohd Azizulhasni Awang antara pilihan popular bagi perebutan Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019 yang akan berlangsung pada 1 September 2020 di Dewan Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pelumba berusia 32 tahun dari Dungun, Terengganu, itu menaiki podium selaku juara di Kejohanan Trek Siri Dunia di Cambridge Disember tahun lalu menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer.

Malah, beliau yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ turut meraih pingat emas selepas muncul juara acara pecut individu di kejohanan Trek Asia 2019 yang berlangsung di Korea Selatan pada Oktober 2019.

Kelibat beliau nyata tidak mengecewakan dalam membuktikan namanya sebagai prospek terbaik negara dan wajar dijadikan contoh kepada pelumba trek remaja negara selepas muncul juara dalam kejohanan Trek Kebangsaan dalam acara pecut dan keirin individu.

Kejayaan yang dikecapi sepanjang 2019 membuktikan Azizulhasni di landasan terbaik dalam merealisasikan misi menamatkan penantian Malaysia untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada Julai 2021.

Azizulhasni bakal dicabar permata badminton negara, S. Kisona yang turut melakar sejarah tersendiri pada 2019.

Nama anak muda berusia 21 tahun ini ‘meledak’ di bumi Filipina apabila menewaskan Ruselli Hartawan dalam aksi penentuan pingat emas sekali gus menjadi penyumbang satu daripada tiga pingat emas.

Kejayaan yang dilakukan oleh Kisona turut menyaksikan Malaysia mempertahankan gelaran juara dalam acara perseorangan wanita untuk kali kedua berturut-turut selepas Goh Jin Wei melakukannya pada 2017 ketika Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan ini yang masuk di saat-saat akhir membalas kepercayaan diberikan pengurusan dan barisan kejurulatihan bermula dengan kejayaan menundukkan dua pemain jauh lebih berpengalaman dan ranking lebih tinggi, Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia) dan Nitchaon Jindapol (Thailand) di pentas suku akhir dan separuh akhir.

Selain Kisona, gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi turut berada dalam senarai lima atlet bagi perebutan anugerah ini.

Farah Ann nyata tidak mahu melepaskan detik-detik gemilang di Kompleks Sukan Memorial Rizal, Manila apabila merangkul tiga pingat emas – dalam acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai.

Pingat emas dalam acara individu keseluruhan merupakan pingat emas pertamanya di dalam acara ini.

Selepas kecewa gagal melayakkan diri ke Olimpik Rio 2016, Farah Ann tidak patah semangat. Usaha kerasnya terbayar dengan ukiran senyuman apabila penyertaannya di Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Stuttgart, Jerman turut mengesahkan tiket merit ke Olimpik Tokyo 2020.

Farah Ann menjadi atlet gimnastik ketiga yang layak beraksi di temasya Olimpik selepas Au Li Yen (Olimpik Sydney 2000) dan Ng Shu Wai di Olimpik Athens 2004.

Perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik untuk Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2019 kali ini turut menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan atlet kebangsaan lain yang turut mengintai peluang termasuk atlet luncur ais Julian Yee dan Loh Choon How dalam acara wushu.

Edisi kali ini sedikit berbeza yang mana majlis anugerah dilangsungkan dalam skala kecil mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi melibatkan semua aspek penganjuran terutama penjarakan fizikal sepanjang majlis.

“Meskipun berlangsung dalam skala yang kecil susulan COVID-19, sebagai penganjur, SAM akan memastikan kemeriahan dan kualiti penganjuran majlis SAM-100PLUS 2019 di tahap yang optimum.

“Jika sebelum ini kita sering melihat atlet-atlet negara bertaraf dunia saling bersaing untuk Anugerah Atlet Terbaik, tetapi untuk edisi 2019, kita dapat saksikan atlet muda yang semakin berdaya saing dan semakin berani untuk turut sama menjadi pencabar,” kata Presiden SAM, Jasni Shafie.

Majlis akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang sepanjang 2019, wartawan sukan juga turut menerima pengiktirafan sekali gus berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000 pada majlis Anugerah SAM-100PLUS kali ini.

Anugerah di bahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 berserta trofi.

 

SENARAI ATLET TERBAIK SAM:

1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)

1997 – Nurul Huda Baharin (menembak)

1998 – Lim KengLiat (renang)

1999-2001 – TiadaAnugerah             

2002 – Lim Keng Liat (renang) danS.Premila (karate-do)

2003 – Lim Keng Liat (renang)

2004 – Bryan Nikson Lomas (terjun)

2005 – Nicol Ann David (skuasy)

2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)

2007 – Wong Mew Choo (badminton)

2008 – Lee Chong Wei (badminton)

2009 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal)

2010 – Pandelela Rinong (terjun)

2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)

2012 – Pandelela Rinong (terjun)

2013 – Sazali Samad (binabadan)

2014 – Nicol Ann David (skuasy)

2015 – Pandelela Rinong (terjun)

2016 – Lee Chong Wei (badminton)

2017 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)

2018 – Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling

 

ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:

2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)

2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)

2018 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)

- Advertisement -