azizulhasni.awang

Oleh Muhammad Aiman

Di sebalik statusnya selaku atlet bertaraf dunia, jaguh berbasikal keirin negara, Azizulhasni Awang tetap berhasrat mahu beraksi di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Atlet kelahiran Terengganu itu mencatat sejarah sebagai atlet berbasikal pertama negara memenangi pingat di Sukan Olimpik dengan meraih gangsa acara keirin di Rio De Janeiro baru-baru ini, namun Azizulhasni tetap memandang tinggi cabaran beraksi di  temasya dwitahunan itu.

“Saya hanya akan menyertai satu acara individu sahaja, tidak pasti sama ada keirin atau pecut, bergantung kepada apa perancangan jurulatih John (Beasley) buat saya. Tetapi, sama ada ianya pecut atau keirin, saya tidak kisah. Saya mahu merasai satu pengalaman baru berlumba di sukan terbesar Asia Tenggara itu di hadapan peminat sendiri.

“Saya tahu tidak ramai rakyat kita pernah menyaksikan saya berlumba di depan mata, termasuk ibu bapa saya sendiri. Jadi ini hadiah untuk mereka. Sukan Sea ada nilai tersendiri dan saya teruja untuk mendapat peluang beraksi di temasya itu sekali lagi.

“Bagi acara berpasukan pula, saya beri laluan kepada pelumba-pelumba muda. Saya yakin temasya ini peluang untuk mereka menyerlahkan potensi diri dan mengumpul pengalaman,” ujar Azizulhasni yang popular dengan gelaran ‘the pocketrocketman’ di kalangan peminat sukan tanah air itu.

Untuk rekod, kali terakhir Azizulhasni beraksi di Sukan Sea adalah ketika di Korat 2007, yang mana dia memenangi pingat emas acara kejar-mengejar berpasukan dan dua pingat perak menerusi acara 1 KM ujian masa dan pecut individu. 

Azizulhasni ditemui pemberita selepas menyertai program ramah mesra bersama peminat anjuran syarikat telekomunikasi Huawei di Sunway Pyramid, yang mana dia turut berkongsi pengalamannya menggunakan model keluaran terbaru syarikat itu Huawei P9 bagi merakam detik berharga sepanjang berada di Rio.

- Advertisement -