Dua pemain Sabah, Rawilson Batuil dan Azizzan Nordin berpotensi mencipta sejarah menjadi pemain Sabah yang pertama selepas 16 tahun untuk beraksi di Piala AFF Suzuki sekiranya berjaya merebut tempat dalam skuad akhir 23 pemain yang akan diumumkan selepas aksi persahabatan menentang Maldives pada 3 November depan.
Mungkin tidak ramai yang perasan, pemain terakhir dari pasukan Sabah yang menyarung jersi Harimau Malaya di pertandingan dwitahunan itu adalah penyerang sensasi mereka Zainizam Marjan yang berada dalam skuad 2002 yang turut dibarisi Akhmal Rizal Ahmad Rakhli, Nizaruddin Yusoff, Juzaili Samion dan Hairudin Omar.
Zainizam ketika itu dipanggil sebagai pengganti saat akhir kepada penyerang Perak, Khalid Jamlus yang digugurkan Allan kerana masalah disiplin.
Pada 2016, pemain kelahiran Sabah Ronny Harun tersenarai di dalam skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee yang gagal melepasi halangan peringkat kumpulan di Myanmar tetapi ketika itu Ronny mewakili Sarawak.
Justeru ianya pasti sesuatu yang manis untuk bolasepak Sabah secara keseluruhannya tahun ini jika dua pemain mereka berjaya memikat Tan Cheng Hoe sekaligus melengkapkan musim cemerlang mereka yang mencuri tumpuan ramai layak sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia.
Azizzan mula dipanggil menyertai kem negara pada bulan Ogos lalu dan dia membuat penampilan pertama dalam jersi kebangsaan ketika Malaysia menewaskan Kemboja 3-1 bulan lalu apabila masuk menggantikan Nasir Basharudin yang cedera.
Prestasinya menerima pujian penyokong sehingga ramai yang melabel permainannya sebagai cukup meyakinkan dan ada yang menyamakan gaya permainannya mirip kepada bekas tonggak treble Kelantan, Shakir Shaari.
āSaya tidak pernah terfikir dapat mewakili negara tetapi peluang beraksi di Piala Suzuki AFF 2018 sudah berada di depan mata, jadi saya tidak akan mensia-siakannya. Peluang ini membuatkan saya mahu terus bekerja keras, jika dapat mewakili negara ke Piala Suzuki AFF 2018, pencapaian ini akan menjadi penutup tahun yang baik kepada saya,ā kata Azizzan.
Rawilson ynang beraksi di posisi pertahanan tengah pula sudah lebih lama di dalam skuad iaitu sejak bulan Mac lalu namun hanya mendapat kap sulung juga ketika menentang Kemboja.
Kapten Sabah itu perlu bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, Shahrul Saad, Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria.Ā Ā – OLEH MUHAMMAD AIMANĀ