Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman tidak mahu dibebani harapan untuk meraih gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu yang ketika ini menghuni tangga keempat keseluruhan sebaliknya selesa bertindak sebagai pelumba bukan pilihan meskipun hanya 10 mata ketinggalan kepada pendahulu, Mohd Zaqhwan Zaidi.

ā€œSaya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri. Saya hanya memikirkan bagaimana untuk tampil terbaik ketika di litar dan bagaimana untuk memenangi perlumbaan. Lima pelumba teratas masih berpeluang dan sedang bersaing sengit memburu kejuaraan.

ā€œTumpuan lebih diberikan kepada Zaqhwan kerana dia sedang mendahului kedudukan. Saya selesa tampil selaku pelumbaĀ ā€˜underdogā€™Ā dan menamatkan perlumbaan di atas podium,ā€ jelas juara tahun 2013 itu.

Pada masa sama, Azlan dan rakan sepasukan, Ahmad Yudhistira turut mempunyai misi untuk membantu pasukan muncul juara keseluruhan setelah mendahului kedudukan ketika ini dengan 155 mata, sembilan mata mengatasi juara bertahan, Musashi Boon Siew Honda Racing yang berada di kedudukan kedua.

ā€œKiraan mata diambil dari pelumba terbaik pasukan. Yudhistira ketika ini juga sedang bersaing untuk gelaran keseluruhan.

“Ini akan memberi kelebihan buat pasukan kerana tidak kira saya ataupun Yudhis pasti akan memungut seberapa banyak mata dan optimis kami mampu untuk menamatkan dominasi pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing yang memegang gelaran pasukan terbaik selama lima tahun berturut-turut,ā€ tambah Azlan yang pernah membantu pasukan berpengkalan di Malaysia itu memegang gelaran pasukan terbaik pada 2012 dan 2013.

Kali terakhir jentera Kawasaki memenangi gelaran pada tahun 2011 melalui Katsuaki Fujiwara sebelum penguasaan oleh Musashi Boon Siew Honda Racing.

- Advertisement -