Oleh Muhammad Aiman
Pengendali Felda United, Azmi Mohamed akur dengan keputusan seri dicatat ketika menentang Kedah di halaman sendiri pada Sabtu namun berpendapat keputusan perlawanan boleh memihak kepada pasukannya andai para pemain tidak mengambil masa terlalu lama untuk menemui rentak permainan.
“Kami terlalu banyak melakukan kesilapan dan memberi ruang kepada mereka, khususnya gagal menguasai tengah dan sedikit goyah di pertahanan pada separuh masa pertama. Kedah gunakan sebaiknya peluang itu untuk menghukum kita.
“Apabila mereka sudah mula dapat sesuaikan diri dengan rentak permainan pada separuh kedua, barulah kita nampak lebih mengancam dan berjaya perbaiki kelemahan dengan menguasai bahagian tengah dan mencipta lebih banyak peluang jaringan namun dihampakan pula ketiadaan penyudah,” ujar Azmi.
Pada perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak itu, Kedah mendahului di separuh masa pertama setelah kesilapan pertahanan membolehkan Ken Ilso Larsen melarikan bola dan merembat leret menewaskan Farizal Harun di gawang Felda.
Hanya di separuh masa kedua, naib juara Liga Super musim lalu itu tampak lebih bertenaga dan berjaya mencipta beberapa percubaan berbahaya yang gagal disudahkan Norshahrul Idlan Talaha, Hadin Azman, Zahrahan Krangar dan juga Gaston Cellerino.
Percubaan demi percubaan akhirnya membuahkan gol penyamaan apabila Hadin melakukan penyudah tenang setelah menerima hantaran Zahrahan pada minit ke-59 dan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat meskipun ada beberapa peluang keemasan untuk mendapatkan jaringan kemenangan.
Azmi berharap menjelang aksi menentang Kelantan pada 11 Februari depan, kombinasi dua penyerang Norshahrul Idlan dan Gaston Cellerino dapat lebih menyengat bagi memastikan The Fighters kembali ke landasan kemenangan.
“Mereka (Norshahrul dan Gaston) perlu cepat serasi, Gaston adalah pemain yang boleh membuat penyudah tajam dari kotak penalti tetapi dia masih kurang mendapat bantuan rakan sepasukan. Saya juga akan membuat sedikit pertukaran untuk perlawanan menentang Kelantan. Saya memerlukan pemain yang bersedia dari segi mental dan fizikal kerana jadual perlawanan kita agak pada selepas ini,” kata Azmi.
Selepas aksi Liga Super, Felda akan bertemu penyandang juara Johor Darul Takzim dalam pusingan kedua Piala FA dan mereka juga bakal terlibat dalam saingan Piala AFC yang akan bermula pada 21 Februari, di mana Felda akan membuka tirai menentang kelab Singapura, Tampines Rovers di gelanggang lawan.