Oleh Muhammad Aiman
Baru mengharungi tiga perlawanan, Felda United sudahpun kehilangan khidmat pengendalinya, Azmi Mohamed.
Dan Azmi menjelaskan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri bagi membimbing Felda United beraksi di tahap tinggi adalah sebab mengapa dia membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan itu.
“Saya perlu jujur dan telus untuk mengatakan keputusan ini adalah tepat untuk kebaikan dan masa depan Felda United, bagi mereka melangkah lebih jauh dan menjadi sebuah pasukan yang mantap.
“Saya tidak mahu menjadi jurulatih yang hanya mengendali pasukan dan menerima segala keputusan. Sebaliknya keputusan saya ini adalah yang terbaik untuk melihat Felda dapat bersaing di peringkat lebih tinggi,” ujar jurulatih berusia 50 tahun itu.
Tambahnya, “Secara peribadi saya tidak menghadapi masalah dengan pengurusan, sebaliknya keputusan ini adalah di atas kerelaan saya sendiri setelah melihat tahap kemampuan sebenar saya mengendalaikan pasukan ini. Saya akan menambah baik ilmu kejurulatihan dan bersedia kembali bersama Felda di masa akan datang.”
Azmi dilaporkan telah menghantar surat perletakkan jawatannya itu kepada pengurusan The Fighters pada Selasa lalu dan walaupun belum menerima sebarang maklumbalas, bekas jurulatih Johor Darul Takzim itu percaya keputusannya akan diterima oleh pihak pengurusan.
Mengimbau tiga perlawanan di bawah bimbingan Azmi, pencapaian Felda tidaklah begitu teruk di mana mereka membuka kempen Liga Super dengan kemenangan 1-0 ke atas PKNS Selangor sebelum tewas kepada JDT dalam aksi kedua dan kemudiannya mengikat juara Piala Malaysia 1-1 di gelanggang sendiri minggu lalu.
Pengunduran Azmi juga dilihat sebagai satu tamparan buat pasukan itu tatkala mereka sedang bersiap untuk pertembungan menentang Kelantan juga di gelanggang sendiri di Stadium Tun Abdul Razak pada Sabtu.
Tugas ditinggalkan Azmi dijangka akan diambil alih oleh penolong jurulatih Felda, Mohd Nik buat sementara waktu.