Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat keputusan untuk ‘merehatkan’ Azraai Khor Abdullah selepas gagal memperbaiki kedudukan pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super.

Lima kekalahan tanpa sebarang kemenangan jelas tidak dapat diterima pengurusan sekaligus memaksa persatuan untuk ‘melepaskan’ Azraai.

Posisi pengendali skuad Jang kini diambil alih Mario Lomes yang pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Bangladesh.

Malah, tiga muka baru dibawa masuk selepas jendela perpindahan pemain dibuka pada awal Mei sekaligus beberapa nama digugurkan khususnya pemain import.

Menurut laman web ultrajang (http://www.ultrajang.com), Renars Rode antara yang digugurkan susulan masalah kecederaan sekaligus merencatkan usaha Negeri Sembilan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Posisi Rode akan diisi pemain tinggi lampai dari Brazil, Alex Moraes manakala Prak Mony Udom juga digugurkan dan diganti dengan Angel Girado dari Filipina.

Negeri Sembilan turut mendapatkan pemain yang pernah beraksi bersama pasukan PDRM, David Rowley.

Selepas sembilan perlawanan, Negeri Sembilan menghuni tangga tercorot Liga Super dengan lima mata berjaya diperolehi selepas 1 kemenangan 2 keputusan seri dan enam kekalahan setakat ini.

Negeri Sembilan dipisahkan tiga mata dengan Kelantan yang berada di tangga ke 11 liga.

Tugas pertama Mario Lomes adalah memburu mata ketika menentang Kedah.

- Advertisement -