“Saya tidak keruan”…Itu yang diluahkan oleh penjaga gol Perak, Azri Ghani tatkala memikirkan keselamatan keluarganya apabila kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan dilanda banjir.
Azri yang kini berada di Ipoh, Perak perlu menjalani sesi latihan bersama pasukan dan kini hanya mengharapkan ibu bersama adiknya dalam keadaan baik meskipun rumah mereka yang terletak di Pulau Kundur sudah pun dinaiki air sejak semalam.
Pemain berusia 22 tahun ini menjelaskan keadaan banjir di sana semakin membimbangkan apatah lagi ini adalah kali pertama rumah mereka dinaiki air dan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sebelum berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Azri tidak menolak fokusnya agak terganggu untuk memastikan persiapan menjelang saingan Liga Malaysia 2021 berjalan lancar sambil mengharapkan keadaan akan beransur pulih sebelum sepak mula pada Februari depan.
“Saya sebenarnya memang tidak sedap hati apabila perlu berjauhan dengan keluarga dalam tempoh sukar seperti ini, tetapi kalau saya nak balik sana pun, banyak jalan sudah dinaiki air dan risau nanti tersekat pula.
“Sebelum ini tak pernah pula sampai nak banjir sehingga ke dalam rumah, tetapi tahun ini paras air naik mendadak dan dalam sekelip mata, rumah kami dinaiki air, jadi ibu dan adik sempat menyelamatkan beberapa barang penting sahaja.
“Sekarang ketika berlatih pun, fikiran saya dekat kampung risaukan ibu dan adik, nasib baik abang saya dari Pulau Pinang ada sekali di sana, boleh tolong jagakan mereka sekarang.
“Saya harap sangat keadaan akan cepat pulih, jadi saya pun boleh bekerja di sini dengan lebih tenang, sebab nanti liga pun dah nak mula dan semestinya saya ingin fokus dengan lebih baik”, katanya.
Bekas penjaga gol Kedah ini telah pun memulakan latihan bersama pasukan sejak Rabu lalu dan kini dalam fasa untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan.
Apa yang pasti, meskipun permulaan 2021 tidak manis seperti yang diharapkan dengan bencana alam yang menimpa keluarga, namun Azri percaya ada sinar disebalik apa yang berlaku ketika ini selain berazam mahu mencapai prestasi lebih memberangsangkan untuk Perak.
“Latihan pertama yang kami lakukan berjalan dengan lancar, dan pemain-pemain lain juga semuanya memberikan kerjasama yang bagus dan setakat ini tiada masalah untuk kami semua cari keserasian awal.
“Semestinya saya harapkan yang terbaik untuk 2021 ini walaupun permulaan bulan Januari ini pun sudah macam-macam kita perlu tempuh, jadi mahu atau tidak, perlu terus kuat untuk memastikan persediaan berjalan baik.
“Banyak yang saya ingin nak capai untuk tahun 2021, selain prestasi yang lebih cemerlang bersama Perak, saya juga harap dapat terpilih untuk berada dalam skuad kebangsaan pada tahun ini”, tambahnya.