Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji aksi ditampilkan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar yang turun selaku penyerang utama bagi membantu pasukan menang 4-2 ke atas Penang FC, semalam.

Baddrol selaku kapten pasukan diberi kepercayaan oleh Kim Swee untuk berada di jentera serangan sekali gus berjaya memberi impak positif untuk memastikan kemenangan berharga Sabah.

Jelas Kim Swee, beliau juga tidak menjangka anak buahnya mampu memperoleh empat gol apatah lagi selepas Penang FC berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit 51.

“Kita tahu Baddrol merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan dia bermain dengan cukup baik di posisi berlainan di mana kita bermain selama 120 minit tempoh hari dalam Piala FA, dan ini memberi impak dari segi keletihan.

“Tetapi majoriti pemain menunjukkan tahap kecergasan yang memuaskan.

“Kalau ikut perancangan, sudah tentu saya tidak menjangkakan sehingga empat gol, tetapi pemain bangkit selepas gol penyamaan dan ini menunjukkan mereka berada di tahap yang cukup terutama dari segi mentaliti dan keyakinan mereka”, katanya.

Dalam perlawanan lain yang turut berlangsung semalam menyaksikan Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC pula masing-masing meraih satu mata apabila seri 0-0 di Stadium Darul Aman.

Namun, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menyifatkan aksi anak buahnya kali ini lebih menyakinkan berbanding tiga perlawanan lalu dan berjaya mengubah permainan dengan lebih baik di separuh masa kedua untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata.

“Sejujurnya kami banyak berbincang sesama sendiri sebelum perlawanan dan pemain-pemain senior juga banyak membantu.

“Saya boleh katakan pada separuh masa pertama kita tidak beraksi dengan baik, mungkin pemain di bawah tekanan dan terlalu berhati-hati.

“Tetapi, saya berbangga dengan mereka yang berjuang sehingga wisel penamat dan menunjukkan kesungguhan mereka dengan lebih baik berbanding perlawanan lepas.

“Mereka melakukan tugas lebih bagus di separuh masa kedua dan itu perbezaan yang ketara ditunjukkan berbanding di separuh masa pertama”, katanya.

Satu lagi aksi yang telah berlangsung semalam menyaksikan Kuala Lumpur City FC meraih tiga mata selepas menewaskan Sarawak United FC dengan keputusan 2-1.

- Advertisement -