Malaysia meraih tiga kejuaraan di saingan badminton International Spain yang melabuhkan tirainya hari ini.

Disebalik perlawanan tumpuan buat peminat badminton tanah melibatkan Goh Jin Wei dan S Kisona, seorang pemain, Tee Kai Wun boleh diangkat sebagai pemain cemerlang apabila meraih dua gelaran menerusi bergu campuran dan bergu lelaki.

Perlawanan tumpuan final pastinya terarah kepada saingan perseorangan wanita yang menemukan dua pemenang pingat emas Sukan SEA, iaitu pilihan keempat, S Kisona menentang Goh Jin Wei.

Permainan lebih memihak Kisona yang tampak lebih tangkas melakukan serangan balas dan bijak membaca gerakan Jin Wei untuk mendahului sepanjang saingan.

Jin Wei yang cuba menyusun corak permainan yang lebih aggresif tetap gagal mencari ruang untuk memerangkap lawannya sekaligus terpaksa akur untuk memberikan kemenangan straight set 21-14, 21-19 kepada S Kisona.

Ini adalah kemenangan kedua S Kisona dan Goh Jin Wei dalam dua pertemuan selepas kali pertama bertembung ketika Thailand Masters pada 2018.

Sementara itu dalam aksi bergu campuran, gandingan Tee Kai Wun-Teoh Mei Xing dipaksa bertarung tiga set sebelum melangkah keluar sebagai juara.

Berdepan pilihan ketiga dari England, Callum Hemming-Jessica Pugh, Kai Wun-Mei Xing yang baharu digandingkan pertama kali dikejohanan kompetitif tampak menunjukkan rasa gentar untuk menutup aksi final dengan kemenangan  21-15, 13-21, 21-19.

Pemain terbaik kejohanan mungkin boleh diberikan kepada Tee Kai Wun yang menaiki podium untuk kali kedua.

Selepas muncul juara dalam bergu campuran, Kai Wun turun bergandingan dengan Man Wei Chong dalam saingan bergu lelaki menentang pasangan dari Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar.

Meskipun sedikit kepenatan, Kai Wun tetap mempamer aksi yang cukup mantap ditambah sokongan dan komunikasi yang baik dengan Wei Chong untuk melangkah keluar dari gelanggang selaku juara dengan kemenangan straight set 21-15, 21-18.

Ini juga merupakan trofi kedua buat Man Wei Chong dan Kai Wun Tee selepas menjulang gelaran juara Terbuka Poland pada Mac lalu.

Lain lain perlawanan, tuan rumah Sepanyol berjaya mencuri satu kemenangan dalam acara perseorangan lelaki menerusi pilihan ketiga, Pablo Abian yang mengejutkan pilihan kedua dari Brazil, Ygor Coelho straight set 21-13, 21-17.

Hasrat untuk menyaksikan satu lagi wakil tuan rumah meriah gelaran kedua tidak kesampaian apabila wakil bergu wanita, Alyssa Tirtosentono-Imke van Der Aar dari Belanda menundukkan Paula Lopez-Lorena Uslé straight set 21-11, 21-19.

 

 

- Advertisement -