MUHAMMAD Huzairi Abdul Malek melakukan kejutan apabila menumbangkan bekas juara dunia dan bekas tiga kali juara ASEAN, Pham Duc Trung dari Vietnam dalam perlawanan suku akhir perseorangan lelaki (SL3) di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis (21 Sept).
SL3 ialah kecacatan pada satu atau kedua-dua kaki bawah paras lutut.
Bagaimanapun, bukan mudah bagi Huzairi untuk mengatasi pemain berusia 43 tahun itu yang telah bertanding dalam Sukan Para sejak 2003. Huzairi tewas 27-29 dalam set pertama tetapi cemerlang dalam set kedua dan menang 21-15.
Dalam set penentuan, Huzairi menguasai sepenuhnya permainan sehingga memaksa Duc Trung yang keletihan mendapat rawatan perubatan kerana kekejangan otot pada pertengahan set ketiga.
Pemain Vietnam itu tidak dapat meneruskan permainan ketika kedudukan 11-0.
“Ini satu kemenangan yang besar bagi saya. Untuk mengalahkan seorang pemain yang pernah menjadi juara dunia, juara Asia dan tiga kali juara ASEAN ialah suatu yang hebat.
“Dia seorang pemain yang tahan lasak tetapi saya telah meletihkannya dengan banyak bermain rali pada set kedua setelah kalah dalam set pertama kerana kesalahan saya,” kata Huzairi.
Pemain 27 tahun dari Kajang itu akan bertemu Maman Nurjaman dari Indonesia dalam separuh akhir.
Huzairi, yang merupakan atlet para sepenuh masa, bertanding dalam Sukan Para ASEAN yang keempat bagi dirinya. Pencapaiannya yang terbaik ialah di Singapura dua tahun lepas dengan memenangi gangsa.
Duc Trung akur kekalahannya dan mengucapkan tahniah kepada Huzairi. “Dia (Huzairi) layak menang. Saya menghadapi tentangan daripada dia pada game pertama dan tidak boleh menandingi kepantasannya,” kata Duc Trung yang membuat penampilan pertamanya di Sukan Para di Hanoi pada 2003 dan memenangi emas pada 2007 (Korat), 2009 (Malaysia) dan 2011 (Indonesia).
Duc Trung, yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki berusia 5 dan 10 tahun, tidak berputus asa malah akan membuat persiapan untuk Sukan Para ASEAN ke-10 di Manila nanti.